RUHAINIES enggan fikir soal teman lelaki.
RUHAINIES enggan fikir soal teman lelaki.
Najiy Jefri


MULA menempa nama dalam drama bersiri Helo Mr Perfect! di slot Akasia TV3 enam tahun lalu, pelakon jelita Ruhainies kini berjaya membuktikan kehadirannya dalam bidang lakonan masih di landasan yang baik.

Walaupun di awal pembabitan dia menerima pelbagai kritikan daripada orang luar termasuk penggiat seni mengenai cara lakonannya, namun ia tidak membuatkan dia mudah patah semangat.

Bagi Ruhainies, walaupun ada sesetengah beranggapan karier lakonannya akan terkubur dan tidak bertahan lama, namun kecintaan terhadap bidang itu membuatkan dia sentiasa cuba memperbaiki diri.

"Ketika membintangi drama Hello Mr Perfect memang ada orang luar termasuk rakan industri yang beritahu saya tidak akan bertahan lama. Malah, ada yang beritahu drama bersama Fattah Amin itu akan menjadi yang pertama dan terakhir.

"Namun, segala kritikan dan kelemahan yang diberikan saya jadikan sebagai pembakar semangat. Saya selalu percaya pada rezeki dan tidak akan berputus asa.

"Bagi saya, enam tahun lalu adalah permulaan untuk kehidupan saya sebagai pelakon. Terlalu awal untuk menghakimi bakat yang masih baharu dan disebabkan itu saya selalu minta diberikan masa dan peluang.

"Lagipun setiap individu memerlukan masa dan proses untuk mempelajari sesuatu perkara baharu dalam hidup," katanya.

Menurut Ruhainies, walaupun kecewa dengan komen yang dilemparkan, namun dia tidak akan sesekali membiarkan segala komen buruk terus berbekas di hati.

RUHAINIES berjaya membuktikan kehadirannya masih diterima ramai.
RUHAINIES berjaya membuktikan kehadirannya masih diterima ramai.

"Memasuki tahun keenam sebagai pelakon saya sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik. Kerjaya ini adalah minat dan jiwa saya, jadi saya perlu lakukan dengan sebaik mungkin.

"Jujurnya sehingga sekarang pun saya tak rasa diri sudah popular, cuma saya bersyukur kehadiran saya masih orang kenal dan menerima pelbagai tawaran termasuk menjadi duta produk.

"Kadang-kadang terdetik rasa syukur apabila saya tidak terlalu popular. Jika popular setiap pergerakan dan tingkah laku akan diperhatikan dan dijadikan bahan untuk melihat saya jatuh," katanya.

Enggan kongsi kisah cinta lagi

Diminta bercerita mengenai hubungan cintanya dengan Mr E, Ruhainies agak keberatan.

Katanya, dia enggan mengulas atau memikirkan soal jodoh atau perihal cinta buat masa ini.

"Kisah cinta sudah menjadi terlalu peribadi sekarang. Jika dulu saya sering kongsikan dengan umum tapi sekarang biarlah saya simpan sendiri.

"Saya nak fokus dengan karier lakonan dan enggan fikir soal jodoh. Lagipun banyak perkara yang ingin saya kejar dalam bidang lakonan ini.

"Saya harap tiada persoalan mengenai kisah cinta saya selepas ini. Kalau ada berita baik barulah saya beritahu," katanya yang menyangkal dakwaan bercinta dengan pelakon Zul Ariffin sebelum ini.

BAKAL membintangi drama Cukup Derita Itu untuk slot Samarinda di TV3.
BAKAL membintangi drama Cukup Derita Itu untuk slot Samarinda di TV3.

Dalam perkembangan lain, Ruhainies bakal menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Cukup Derita Itu untuk slot Samarinda TV3.

Kata Ruhainies, selepas membaca sinopsis dan jalan ceritanya, watak yang perlu dibawakan tidak mudah namun akan sedaya upaya menjiwai watak itu dengan sebaik mungkin.

"Ketika saya ditawarkan untuk membintangi drama bersiri 40 episod ini, saya membaca komen dan pendapat orang ramai di media sosial. Rata-rata menyukai novel ini sekali gus memberi satu tekanan kepada saya.

"Sebenarnya saya jarang dapat watak berat tapi saya akan mencabar diri dan membuktikan kemampuan saya sebagai pelakon. Saya bakal memulakan penggambaran beberapa hari lagi dan tak sabar nak tengok hasilnya," katanya.

Bagi Ruhainies, memandangkan drama terbabit memerlukan komitmen yang tinggi dia sanggup menolak beberapa tawaran demi memberi fokus terhadap drama arahan Along Kamaludin itu.

"Saya memang tak ambil projek lain. Saya terpaksa tolak beberapa tawaran demi memberi keutamaan terhadap drama ini. Saya tak nak menyusahkan orang lain dan tidak boleh bersikap pentingkan diri.

"Dalam keadaan pandemik Covid-19 dan melihat banyak penggambaran tertangguh, jadi saya perlu mengutamakan tawaran ini kerana difahamkan drama ini mengejar tarikh siarannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 7:00 AM