Ungku Ismail Aziz
Ungku Ismail Aziz

Kuala Lumpur: Sebanyak RM270,000 berjaya dikumpul dari Pertubuhan Kebajikan As Siddiq untuk Tabung Kecemasan Nad Zainal bagi membantu membiayai kos perubatan dan rawatan pelakon popular itu.

Pelakon dan rakan baik Nad, Ungku Ismail Aziz menerusi hantaran video di Instagram berkata, sebahagiannya sudah disalurkan kepada hospital untuk membiayai kos rawatan hospital dan selebihnya akan ditumpukan kepada rawatan dan ikhtiar lain.

Ungku Ismail juga tidak mahu timbul sebarang kekeliruan mengenai tabung itu kerana ada beberapa portal berita

menggunakan poster dari Tabung Kebajikan As Siddiq, tetapi jumlah sumbangan yang dipaparkan adalah untuk tabung lain.

"Saya tak nak timbul sebarang kekeliruan kerana itu ada sedikit kurang tepat. Jumlah yang dapat dikumpul dari Pertubuhan Kebajikan As Siddiq untuk Tabung Kecemasan Nad Zainal adalah RM270,000.

"Dari situ, memang sudah ada perjanjian dan Nad pun tahu bahawa tiga peratus daripadanya akan diberikan kepada pertubuhan itu sebagai yuran pengurusan.

"Apa saja berkaitan rawatan untuk menyembuhkan Nad, maka kita akan guna duit dari sumbangan ini," katanya.

Ungku Ismail berkata, selain rawatan moden, keluarga Nad juga berikhtiar menggunakan rawatan Islam.

"Ramai bertanya dengan saya, ada tak gunakan perubatan Islam? Memang ada. Dari hari kedua lagi memang dah gunakan dan ayah dia pun sudah usahakan.

"Kita memang ada menggunakan rawatan Islam secara berulang kali. Ada yang cakap, minta pusat tahfiz doakan dia. Memang ada. Ada juga yang cadangkan supaya diberikan air zam zam kepadanya. Memang ada. Itu ikhtiar." katanya.

Katanya, ikhtiar yang paling berkesan adalah bersedekah.

"Antara ikhtiar yang saya rasa paling mujarab sekali untuk menjaga mereka yang sakit ialah dengan amal atau bersedekah kepada orang lain. Jadi, kita infaq atas nama Nad, atas ikhtiar dan amalan untuk mengundang ubat mujarab kepada penyakitnya.

"Ada diinfaqkan kepada rumah anak yatim, masjid, pusat tahfiz dan orang-orang yang memerlukan. Itulah pecahan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian. Selebihnya akan disalurkan kepada Nad untuk rawatan susulan dan pengurusan hariannya selepas ini," katanya.

Menurut Ungku Ismail, berdasarkan nasihat doktor, ada beberapa situasi bakal berlaku terhadap Nad di mana dia tidak boleh berada dalam keadaan cergas terutamanya untuk bekerja semula.

"Dia perlu berehat di rumah dan mungkin ada beberapa kerja yang boleh dilakukan, contohnya berniaga dan sebagainya.

"Untuk menjalani penggambaran, memang tak boleh kerana perlu bergerak laju dan sebagainya. Apabila sumber pendapatan utama datangnya dari penggambaran (berlakon), jadi kita salurkan bantuan untuknya apabila dia tidak berdaya," katanya.

Dalam video sama, Ungku Ismail turut berkongsi keadaan terkini Nad yang masih dalam proses pemulihan.

"Nad masih dalam proses pemulihan. Dia dalam keadaan baik, alhamdulillah. Saya mohon anda semua terus doakan dia agar dia sembuh dan dilenyapkan segala penyakit, kembali sihat seperti sedia kala.

"Dalam video terdahulu, saya ada jelaskan bahawa saya tak mahu terlalu kerap berkongsi berita terkini kerana dalam proses pemulihan ini, dia banyak berehat. Jadi, tak ada banyak benda yang boleh saya kongsikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 1:02 PM