UNGKU Ismail. FOTO Aziah Azmee
UNGKU Ismail. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman

POPULARITI ibarat putaran roda bagi insan bergelar anak seni. Itulah yang dilalui Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz yang kini mencetus fenomena menerusi drama bersiri Adellea Sofea berganding dengan Mira Filzah.

Sebelum ini, pelakon tinggi lampai ini pernah menjadi sebutan peminat apabila bergandingan dengan Siti Elizad Sharifuddin menerusi drama Teman Lelaki Upahan pada 2015.

Bagaimanapun, namanya jarang bermain di bibir peminat sebaik drama itu tamat ditayangkan.

Kini, popularitinya kembali dalam Adellea Sofea.

“Bukan saya menghilang kerana drama lakonan saya tetap ada di saluran lain. Cuma slot Akasia di TV3 sangat besar pengaruh kepada peminat.

“Ikutkan saya sentiasa dapat tawaran berlakon. Saya juga memilih dan pastikan dapat watak dan cerita yang saya tak pernah buat. Sama ada ia meletup atau tidak, saya tak tahu kerana bergantung pada rezeki,” katanya membuka perbualan.

Ungku Ismail, 34, berkata, apabila ditawarkan berlakon drama bersiri arahan Shahrulezad Mohameddin yang bukannya daripada novel, dia melihat satu peluang yang tidak wajar dilepaskan.

“Saya lihat ceritanya dan tahu saya boleh bermain dengan watak. Saya bawa watak Alif Firdhaus, seorang penagih dadah tapi tak nampak seperti penagih dadah tipikal dengan badan kurus cengkung.

“Rupa-rupanya kita ada stigma penagih dadah mesti begitu rupanya. Apabila saya dapat, saya ambil dan kemudian buat kerja. Kalau meletup, meletuplah. Kalau tidak, bukan rezeki kami,” katanya.

Menurut Ungku Ismail, Ezad bukan orang asing buatnya kerana dia dibesarkan di bawah arahan pengarah prolifik ini.

“Sejak 2005, saya berlakon cerita Sutun dan kemudian belajar buat skrip dengan dia. Abang Ezad yang bagi saya peluang untuk mengarah.

“Namun kami terpisah selama lima tahun kerana saya bawa haluan sendiri. Sekarang kami berjumpa semula dan kembali bekerjasama. Ikutkan saya ditawar berlakon drama Nur tapi tak dapat buat kerana terikat dengan Osman Ali,” katanya.

Bagi Ungku Ismail, Ezad seorang yang bijak kerana sentiasa hadir dengan idea terbaik dan kejutan setiap kali menghasilkan drama.

“Hanya tujuh episod awal kami ikut skrip. Kemudian dia rombak untuk memantapkan lagi jalan cerita. Skripnya sudah bagus tapi dia buat supaya lebih gempak lagi. Itu agak mencabar dirinya sehingga dia sendiri jadi penat.

“Dia ajarkan apa yang patut dibuat dan minta kami bentuk sendiri dialog yang sesuai. Semua pelakon hanya bergantung pada isi penting sebagai dialog,” katanya.

Mengulas gandingan dengan Mira, Ungku Aziz berkata, ia kali kedua mereka berlakon bersama.

“Dulu saya yang mengarah dia untuk drama Duit Kahwin selain saya berlakon sama. Sebenarnya Mira yang menghantar mesej bertanya saya sama ada nak buat slot Akasia kerana dia tahu perangai saya yang agak memilih.

“Dia kata terpulanglah pada saya dan saya pun setuju. Dari situ saya tanya cerita apa dan bagaimana wataknya,” katanya.

GANDINGAN Ungku Ismail dan Mira Filzah dalam Adellea Sofea cetus fenomena.
GANDINGAN Ungku Ismail dan Mira Filzah dalam Adellea Sofea cetus fenomena.

Ungku Ismail berkata, selepas itu dia bertanyakan Ezad sama ada watak hero sudah terisi.

“Saya kata kalau belum ada orang, saya nak watak itu. Apabila bergandingan dengan Mira, saya tengok lakonannya pun semakin bagus.

“Dia pelakon yang baik dan banyak peminat serta ada kekuatan sendiri. Saya risau juga berganding dengan dia kerana dia sangat popular.

“Apabila buat cerita kita boleh agak pasti akan meletup. Drama dia tak pernah menghampakan dari sudut populariti dan ‘rating’,” katanya.

Berkongsi perasaannya, Ungku Ismail gembira kerana banyak penonton bijak yang boleh menerima cerita ini berbanding penonton tipikal yang mengharapkan cerita sama dan klise.

“Banyak penonton yang tengok dan boleh berfikir sekali. Ada juga yang kondem Sofea tapi ada sebab dia buat begitu. Ada yang faham dan ada yang tak.

“Kami minta orang berfikir luar kepompong. Sekarang sudah 2020 apabila kita berlawan arus dengan Netflix, drama Korea Selatan dan pelbagai produk luar, takkan kita masih di takuk lama? Kita tahu kita ketinggalan 30 tahun di belakang Hollywood, apakah kita masih nak hasilkan produk sama?,” katanya.

Menurutnya, inilah masa sesuai untuk membuat kelainan, tetapi tidaklah terlalu drastik.

“Kalau bagi drastik nanti orang terperanjat. Kita bagi sikit-sikit dan saya percaya memang akan kena kecam. Tapi itulah risikonya kita buat benda yang baharu.

“Apabila orang banyak menghargai, orang banyak meneliti dan berfikir sekali dengan apa yang kita persembahkan, itu saya suka. Kita tak boleh ambil pusing sangat kata-kata orang. Apabila buat drama konsep lama, akan ada yang kondem. Buat yang baharu pun sama juga. Itu dah biasa,” katanya.

Ungku Ismail juga puas kerana melihat generasi baharu semakin meminati drama ini.

“Saya dapat banyak mesej yang kata mula-mula tak layan cerita ini tapi apabila menonton akan jadi ketagih. Kita tak boleh janji puaskan hati semua orang. Alhamdulillah kami berjaya tarik golongan penonton baharu.

“Banyak penonton yang mulanya tak suka drama Melayu, tapi akhirnya menyukainya. Itu satu pencapaian yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Ungku Ismail akan membintangi teater Semarak Pertiwiku terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 30 dan 31 Januari ini.

Teater berkisarkan gejala rasuah arahan Muhammad Azri Ali ini turut menampilkan Sherie Merlis, Anding dan Taufik Hanafi akan dipentaskan secara percuma kepada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:01 AM