Video prank tekup kek di muka hanya lakonan semata-mata.
Video prank tekup kek di muka hanya lakonan semata-mata.

Kuala Lumpur: Video 'prank' keterlaluan seorang pemuda yang menekup wajah seorang wanita dengan kek yang tular dan menerima kecaman netizen itu hanya lakonan semata-mata. 

Pengacara, Datuk Aznil Nawawi berkata, pemuda terbabit sebenarnya salah seorang peserta program Raja Viral yang bersiaran di TikTok di mana Aznil adalah Mentor program itu. 

Disebabkan itu, nama Aznil selaku Mentor tercalar akibat tindakan peserta itu.

Aznil dalam satu hantaran video di Instagram berkata, tindakan peserta itu memakan diri kerana dia tidak menjelaskan kepada penonton modus operandi dan matlamatnya menghasilkan kandungan sebegitu.

"Silapnya awak, awak tak dedahkan bahawa 'prank' itu adalah lakonan semata-mata dan apa tujuan awak buat benda itu. 

"Bila ditanya, dia kata, dia buat eksperimen sosial dan nak lihat sama ada masyarakat akan datang menangkap si pelaku atau tidak, sekiranya ia benar-benar berlaku. Itu mesej dia," katanya.

Aznil juga menjelaskan bahawa setiap individu yang tampil dalam video tular itu sudah dibayar dan hanya pelakon semata-mata.

"Memang kita dah cakap, jangan buat 'prank' sebegitu kerana ia akan memakan diri. Tapi, rupanya, dia bayar semua di situ.

"Makcik yang kena kek itu, ibu kepada anak-anak di situ, adik OKU itu, dan juga anak-anak kecil di sekelilingnya, semuanya adalah pelakon.

"Dan ini semua, di luar pengetahuan saya. Jadi, 'prank' yang berlaku bukanlah terhadap orang awam," katanya.

Aznil juga akan terus menggalas tanggungjawabnya sebagai Mentor dan membimbing peserta program itu untuk lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan.

"Untuk itu, saya harap, dengan penerangan ini, saya dapat jelaskan kedudukan saya yang bagaimana. 

"Pada masa sama, saya akan ambil tanggungjawab untuk membimbing mereka lagi supaya mereka dapat dijadikan contoh yang baik untuk anak-anak yang aktif di TikTok atau mana-mana platform media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 7:08 PM