ACARA forum Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? di UKM.
ACARA forum Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? di UKM.
Syafil Syazwan Jefri


Bandar Baru Bangi: Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Forum Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? sempena Festival Filem Malaysia ke 32 (FFM32), di UKM, di sini, hari ini.

Presiden Wham, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, objektif penganjuran forum ini untuk memaparkan realiti sebenar dalam dunia lakonan di mana begitu ramai ingin memilih bidang lakonan sebagai kerjaya.

"Ramai yang mahu menjadi pelakon hebat tetapi tidak ramai tahu teknik lakonan berkesan di skrin layar. Ada banyak rahsia penting yang turut diambil kira sewaktu anda melangkah masuk ke dalam bilik uji bakat juga ketika hendak mendalami sesuatu watak," katanya.

Tengku Khalidah berkata, forum itu juga berkongsi tip-tip penting oleh pakar dalam bidang lakonan yang menunjuk cara, strategi, sikap dan pendekatan yang perlu ada dalam diri seseorang yang ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya profesional mereka.

"Ia membabitkan penyertaan artis dan selebriti popular yang bercakap mengenai topik ini sama ada bakat atau paras rupa yang menjadi taruhan. Ini kerana sudah menjadi trend ketika ini, orang lebih percaya kepada pengaruh media sosial yang mana jika seseorang itu mempunyai pengikut yang tinggi, mereka akan lebih mendapat tempat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, acara ini mengisi kalendar perancangan promosi FFM32.

"Ini adalah sebahagian daripada rangka promosi menuju (FFM32), dan acara-acara ini memeriahkan lagi suasana menjelang hari festival. Kami jemput tokoh-tokoh hebat dari industri dan membincangkan topik yang dicetuskan oleh Datuk A Aida.

"Kita dapat dengar pelbagai pandangan untuk membantu membangunkan industri. Selain itu, forum hari ini juga mengetengahkan peranan Finas dalam berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM," katanya.

Acara forum itu dibarisi panel yang terdiri daripada Nasir, penerbit, Datuk Yusof Haslam; pelakon, Noor Kumalasari, Sharifah Rose dan Hariz Hamdan serta dikendalikan moderator, Fahrin Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 5:57 PM