Sidang media Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) di Menara Kuala Lumpur Selasa lalu, mencatat kenangan manis buat Jawatankuasa Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) apabila mendapat kerjasama dan sambutan luar biasa daripada penggiat seni tanah air.

Majlis mengumumkan pengacara, penyampai anugerah, artis yang membuat persembahan serta penaja untuk acara kemuncak FFM27 yang bermula pada 2 hingga 5 September depan, berlangsung dengan meriah, padat dan lancar disaksikan penggiat filem yang bertanding dan tetamu kenamaan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang juga penganjur FFM27.

Penggiat seni sama ada yang sudah lama atau pun baru, sama-sama menyokong majlis dianjurkan WHAM. Ada yang berkejar dari acara lain kerana tidak mahu ketinggalan hadir sebagai tanda sokongan dan ramai juga sedia menunggu acara sebelah petang walaupun berada di Menara Kuala Lumpur dari pagi untuk sesi fotografi yang diaturkan.

Ada juga yang tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain tetapi apa yang penting, semangat mereka untuk sama-sama memeriahkan acara. Semoga semangat ini berterusan apabila FFM berlangsung.

Tahun ini, FINAS memberi tanggungjawab kepada WHAM menjadi rakan promosi supaya FFM27 mendapat promosi meluas dan dicanangkan ke seluruh pelosok masyarakat.

Memang gigih wartawan dan editor hiburan dari media cetak, elektronik dan maya bekerjasama sebelum dan sepanjang majlis berlangsung. Daripada menyambut tetamu hinggalah pengacara majlis, semuanya dilakukan demi menjayakan tanggungjawab diberi.

Bagaimanapun, skop promosi itu luas sebenarnya dan bukan semudah disangka untuk mendapatkan kerjasama semua media. Untuk mendapat sokongan kehadiran wartawan hiburan bukan masalah tetapi untuk mendapatkan publisiti susulan di stesen radio dan televisyen tidak semudah disangka.

Banyak program pagi dan slot hiburan di televisyen sama ada stesen kerajaan, swasta dan berbayar tapi agak sukar untuk mendapatkan ruang dan peluang. Alasannya, FFM27 ada penyiar rasmi dari stesen TV sebelah sana dan mereka tidak mahu masuk campur.

Hakikatnya, ini program nasional untuk mengangkat dan mengiktiraf bakat penggiat filem tanah air. Jika ingin membantu, banyak yang boleh dilakukan dengan mengundang seorang dua calon bertanding untuk berkongsi cerita pengalaman mereka di stesen radio atau program TV.

Bukan hanya stesen TV dan radio yang tidak bersatu hati membantu, malah kalangan artis dan persatuan artis sendiri. Sudah kedengaran suara-suara tidak puas hati mengenai penganjurannya termasuk ketiadaan filem tertentu dalam kategori tertentu.

Itu baru umum senarai pencalonan, belum lagi diumumkan keputusan pada malam kemuncak nanti. Saban tahun akan berlaku rumah siap pahat berbunyi.

Hakikatnya, dunia seni tanah air kecil saja tetapi begitu sukar untuk kalangan penggiat seni bersatu hati menyokong usaha orang lain memberi pengiktirafan kepada bakat mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:02 AM