Jaclyn Victor. FOTO File NSTP
Jaclyn Victor. FOTO File NSTP
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Jaclyn Victor meluahkan rasa lega apabila diberikan alternatif selain pembedahan iaitu ubat penyembur hidung (nasal spray) bagi membantu menangani masalah hidung bengkok yang dialaminya.

Malah, Jac atau pemilik nama penuh Jacyln Joshuar Thanaraj Victor, 44, bersyukur tahap kesihatannya juga semakin bertambah baik dan tidak kedengaran seperti 'selsema' lagi ketika membuat persembahan.

"Saya pun dapat merasakan vokal saya tidak kedengaran seperti kurang sihat seperti sebelum ini. Memang penyelesaiannya adalah pembedahan namun memakan masa untuk pulih memandangkan saya sedang bertanding.

"Oleh itu, doktor memberikan alternatif iaitu ubat penyembur yang mampu melegakan saluran hidung. Lebih selesa jika dibandingkan dengan sebelum ini yang kedengaran seperti selsema.

"Cuma apabila kurang rehat dan sebagainya, penyakit sinus itu seperti datang kembali. Jadi saya perlu 'alert' supaya kesihatan berada dalam keadaan baik," kata Jac.

Terdahulu, Jac mendedahkan mempunyai masalah hidung bengkok yang memberi kesan kepada suara dan nyanyiannya. Jelasnya lagi, sejak kebelakangan ini hidungnya menjadi terlalu sensitif kepada persekitaran.

"Hidung saya memang terlalu bengkok tetapi selama ini tidak mempunyai masalah.

"Bila saya membuat pemeriksaan, doktor memberitahu hidung saya terlalu sensitif kepada persekitaran seperti asap rokok, vape, habuk dan tidak boleh sejuk," katanya.

Jac yang kini bertanding dalam program realiti Gegar Vaganza 9 (GV9) turut menerima komen daripada Datuk Shafinaz Selamat mengenai vokalnya yang dikatakan mempunyai masalah kerana isu yang dihadapinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 4:33 PM