Ramlah Zainal


Siapa yang mampu menidakkan kehebatan vokal penyanyi terkenal, Jaclyn Victor sepanjang dua dekad berkecimpung di persada muzik tanah air.

Malah, nama juara pertandingan Malaysian Idol musim pertama (2004) dan juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) ini terus kekal relevan dalam industri muzik sampai hari ini.

Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac, 45, bersyukur apabila single terbaharu didendangkan berterusan mendapat perhatian peminat muzik.

Menurutnya, kebanyakan komen yang diterima bagi single berjudul Kembalilah itu sangat positif.

"Sebagai penyanyi, apabila kita berkarya memang akan ada pihak yang tidak puas hati dengan lagu dihasilkan.

"Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya tidak buat lagu mengikut trend semasa?," katanya.

Katanya, ada segelintir komen daripada pihak seberang yang bertanya kenapa lagu Kembalikah masih tampil dengan stail lama?

"Terus terang, acuan lagu saya memang macam tu. Lagu ini masih genre moden pop balada.

"Single Kembalilah juga lagu pertama di bawah naungan syarikat saya, Rag Doll Records," kata Jac yang mendapat sentuhan rakan lamanya, komposer Gerald Sellan dan liriknya pula ditulis Adrian Puan yang kini menetap di New York, Amerika Syarikat (AS).

"Semuanya bermula bila kawan saya yang juga anggota sebuah band di New York menghubungi dan beritahu dia ada lagu baharu untuk saya dengar. Mereka warga Malaysia, tetapi menetap di New York.

"Apabila sudah dengar lagu ciptaannya itu, saya juga berasa tertarik untuk berkolaborasi dengan mereka.

"Namun, banyak yang perlu saya fikirkan sebelum berlepas ke New York kerana saya yang menguruskan dua anak, memasak dan hantar mereka ke sekolah," katanya kepada RapXtra.

Ketika ditemui pada sesi santai single Kembalilah di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini, Jac akui bersyukur kerana proses rakaman lagu itu di New York juga dipermudahkan.

"Apabila saya buat keputusan untuk menerima 'lamaran' Gerald untuk merakamkan single Kembalilah, semua urusan juga berjalan lancar.

"Saya berlepas ke New York pada April dan berada di New York selama 11 hari untuk proses rakaman single terbabit," katanya.

Mengulas proses rakaman pula, kata Jac, pada mulanya, dia berasa risau tidak dapat menyampaikan lagu bernada tinggi itu dengan baik.

"Saya sendiri tahu kemampuan diri. Maklumlah, penerbangan ke New York juga mengambil tempoh hampir 24 jam dengan terpaksa berdepan dengan 'jet lag' dan cuaca sejuk di sana.

"Namun, Gerald yakin saya boleh menyampaikan lagu bernada tinggi itu seperti dikehendakinya.

"Proses rakaman lagu itu hanya mengambil tempoh sehari di studio dan berjalan lancar. Selepas rakaman selesai, kita beri sentuhan pada lagu itu selama sejam," katanya.

Ditanya mengenai mesej yang disampaikan dalam lagu itu, kata Jac, lagu Kembalilah mempunyai mesej yang menyentuh mengenai iman, harapan, cinta abadi dan peluang kedua.

"Lagu ini berat daripada segi melodi dan liriknya. Ia bukan sekadar kisah cinta yang tipikal, tetapi perhubungan sesama manusia termasuk adik- beradik.

"Kadang-kadang bergaduh dengan adik-beradik pun ada sampai tidak bercakap selama setahun.

"Sebagai manusia kita juga tidak sempurna. Contohnya, bagaimana tuhan masih menyayangi diri kita sedangkan kita banyak berbuat jahat (dosa)?," kata Jac pernah mempertaruhkan single berjudul Perempuan ciptaan Johan John dan liriknya Khaleel pada tahun lalu.

Single Perempuan juga dipilih sebagai lagu OST untuk drama yang pernah mencetuskan kontroversi berjudul Perempuan Itu lakonan Mimi Lana dan Zul Ariffin yang bersiaran di aplikasi tonton.my sejak 1 Jun lalu.

Rahsia vokal bertahan

Berkongsi rahsia vokalnya mampu bertahan walaupun mengalami peningkatan usia, kata Jac, dia pastikan dirinya tidak berhenti menyanyi.

"Jangan kurangkan menyanyi atau berehat daripada menyanyi terlalu lama kecuali bila perlu, contohnya ada masalah kesihatan.

"Selain itu, jangan terlalu selesa dengan 'key' yang rendah apabila menyanyi. Sebab itu saya tidak mahu turunkan 'key' ketika persembahan," katanya.

Sementara itu, Jac juga berkongsi masalah alahan yang dialaminya sebelum ini.

"Saya sangat sensitif pada habuk, asap rokok dan suara saya pernah bertukar sengau seperti mendapat selesema.

"Justeru, saya membuat pemeriksaan dengan doktor pakar hidung, telinga dan tekak kerana masalah alahan dialami baru-baru ini.

"Hasil pemeriksaan, doktor beritahu ada macam ketumbuhan, tetapi apabila periksa semula tiada," katanya.

Bagaimanapun, kata Jac, doktor pakar terbabit juga menasihatkannya supaya tidak buat pembedahan hidung membabitkan masalah dialaminya itu.

"Menurut doktor, saya masih okey kerana boleh bernafas dari hidung dan bukan mulut ketika tidur serta tidak perlu buat pembedahan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 6:00 AM