Nabila (kanan) dan Tri Suaka
Nabila (kanan) dan Tri Suaka
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Nabila Maharani enggan menjawab gosip yang mendakwa dirinya sedang menjalin hubungan cinta dengan rakan penyanyi jalanan, Tri Suaka.

Nabila atau nama sebenarnya Nabila Maharani Widyadewi berkata, biarpun dakwaan percintaan mereka semakin bertiup kencang namun gosip adalah perkara yang perlu dijaga apabila mula dikenali ramai.

"Ini adalah perkara yang saya dan Tri Suaka jaga, tidak terlalu berkongsi dengan khalayak. Fokus kami adalah kerjaya nyanyian yang baru dibina.

"Benar atau tidak bercinta, saya tidak bisa menjawabnya. Namun, apa yang boleh ditegaskan, saya dan Tri Suaka berkawan baik dan banyak berkongsi rahsia suka dan duka," katanya ketika ditemui selepas menjayakan Konsert Hype Night In Kuala Lumpur di Kenanga Starxpo, baru-baru ini.

Selain Nabila, konsert itu turut menampilkan rakan penyanyi jalanannya, Zinidin dan Tri Suaka, selain Angga Candra, Valdy Nyonk, Ezad Lazim, Amir Masdi serta Najwa Latiff.

Menurut Nabila, dia mengaku selesa berkawan rapat dengan Tri Suaka serta rakan-rakan penyanyi jalanan lain kerana mereka saling menyokong kehadirannya sebagai penyanyi.

"Sejauh mana dilihat akrab dalam media, itulah kami. Jika ditanya adakah 'teman tapi mesra', adalah.

"Jauh di sudut hati, saya senang bersahabat baik, saling menjaga dan menyokong antara satu sama lain," katanya.

Keakraban Nabila dengan Tri Suaka yang juga insan bertanggungjawab melonjakkan nama Nabila mula dihidu peminat.

Kebanyakan peminat menebak Nabila dan Tri Suaka kini sedang hangat menjalin hubungan cinta sejak bergabung menjadi pasangan duet jalanan, selain dikatakan mendapat restu ibu Tri Suaka yang menganggap Nabila sesuai dijadikan menantu pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 1:58 PM