HAZAMA
HAZAMA
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri, Hazama dan Genervie Kam yang sudah enam tahun melayari kehidupan berumah tangga mahu berikhtiar untuk mendapatkan anak tahun hadapan dan mungkin menerusi proses persenyawaan in vitro (IVF).

Hazama ketika ditemui berkata, dia hanya berserah kepada Allah selain berikhtiar. 

"Sebelum ini saya tenang saja dan anggap tak mengapa kita kena percaya pada ketentuan Allah. Dalam bab begini, penyerahan saya kepada Allah amat tinggi. 

"Tapi berserah itu berserah juga dan dalam masa sama kena ikhtiar. Sebelum ini hanya berdoa saja. Kalau ada, adalah. Sekarang kami bercadang akan ikhtiar cara ini pada tahun depan," katanya ketika ditemui di majlis sidang media Malam Merdeka Bah Kita 2022.

Hazama berkata, dia tidak terasa hati apabila orang bertanyakan soal anak kerana bukan tugasnya untuk menjawab.

"Orang yang tak tahu akan tanya dan apabila saya beritahu tiada anak, mereka akan diam tanda menghormati. Namun ia akan jadi lain apabila orang bagi pendapat itu dan ini.

"Saya melalui perkara ini dan tiada tekanan sangat untuk saya jawab. Tapi bila begitu (beri pendapat), benda ini boleh buat darah saya menyirap juga. Jika babitkan kawan rapat, mereka faham dan saya tak perlu cerita lanjut. Saya akan jadi tertekan apabila orang itu sengaja bertanya atas sebab tertentu, mungkin untuk jual sesuatu," katanya.

Menurutnya, isterinya pula memang inginkan untuk mempunyai anak sendiri. 

"Dia pernah mengandung di luar rahim pada 2017 dan menjalani pembedahan. Tiub fallopio pada bahagian kiri juga sudah dibuang. Kami dah dimaklumkan doktor kebarangkalian untuk ada anak agak susah. Saya faham umurnya dah berusia daripada saya, tapi kita ada Allah dan kalau Dia nak bagi pasti akan bagi.

"Kalau tak bagi pun pasti ada sebabnya. Saya ambil peluang ini untuk kami 'enjoy' dulu dan masing-masing fokus dengan karier. Apapun isteri dalam usaha buat rawatan badan untuk membolehkannya mengandung," katanya. 

 Hazama dan Genervie, seorang pengarah muzik mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2017.

Sementara itu, Malam Merdeka Bah Kita 2022 anjuran Hype Global Ventures akan berlangsung di dua lokasi iaitu Kompleks Sukan Tawau pada 30 Ogos ini.

Ia seterusnya akan berlangsung di Hype Uptown Night Bazar Seri Kembangan pada 2 September ini.

Selain Hazama, artis lain yang terbabit ialah Isnin dan Hafiz Umbrella, Shidi Data dan  Azan Scan.

Tidak ketinggalan ditampilkan ialah barisan artis Indonesia iaitu Zidan, Nabila Maharani, Angga Candra, Tri Suaka dan Valdy Nyonk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 3:43 PM