Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: “Saya jenis yang akan bercakap terus terang kalau benda itu betul. Biasanya saya tak ada masalah untuk mengaku cuma untuk gosip ini memang tak betul,” jawab pelakon Juliana Sophie Evans atau Jue berhubung spekulasi mengatakan dia kini rapat dengan penyanyi rap, Sonaone.

Jue, 26, berkata, gosip mengarut itu hanya gurauan rakan-rakannya dan Sonaone yang mahu melihat mereka menjalin hubungan yang serius.

“Saya sudah agak benda ini akan jadi bualan. Bila saya kongsi gambar kami di media sosial saya sudah tahu hal ini akan timbul. Hakikatnya saya sudah kenal dia lama.

“Sejak dulu lagi, sebelum saya sambung belajar ke Amerika Syarikat kami memang berkawan rapat tapi tak ada apa-apa macam bercinta seperti yang dikecoh-kecohkan itu.

“Kami pun tak pernah keluar berdua saja. Kalau lepak di luar pun secara beramai-ramai. Mungkin kebetulan saya baru balik Malaysia jadi kawan-kawan saja mengusik,” katanya.

Khabar angin terbaru mendakwa kononnya Jue dan penyanyi lagu Apa Khabar itu kini sedang intim dan dipercayai bakal menjalin hubungan. Perkara itu digembar-gemburkan apabila gambar mereka keluar bersama tersebar di sosial media, baru-baru ini.

Ia sekali gus mencetuskan kekecohan dan tanda tanya dalam kalangan peminat mengenai status sebenar hubungan itu.

Sonaone atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafae, 27, dalam kenyataannya semalam menyifatkan gosip itu sekadar usikan rakan-rakan kepada Juliana yang baru pulang ke tanah air.

Katanya, khabar angin itu adalah perkara yang melucukan dan tidak logik kerana mereka sudah berkawan sejak dulu lagi tanpa membabitkan perasaan cinta.

Jue berkata, gosip berkenaan adalah perkara remeh yang tidak mengganggu kerana dia bersikap terbuka untuk berkongsi kisah peribadi jika dia menjalin hubungan lelaki tertentu.

“Dari dulu pun saya tak ada masalah untuk mengaku kalau ada hubungan dengan seseorang. Tak ada apa nak disorokkan kalau betul saya menjalin hubungan dengan Sonaone.

“Tapi dalam kes ini memang tak ada langsung benda (hubungan) macam itu. Buat masa sekarang saya masih tak ada teman lelaki. Saya tak kisah untuk bercakap perkara sebenar,” katanya yang akan berlakon dalam filem Bella & Jamie, April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:46 AM