ANGGA bersyukur lagu Sampai Tutup Usia diterima oleh peminat di Indonesia dan Malaysia. FOTO Rohanis Shukri
ANGGA bersyukur lagu Sampai Tutup Usia diterima oleh peminat di Indonesia dan Malaysia. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


MEMULAKAN karier sebagai penyanyi jalanan sebelum mencipta nama dalam pasaran arus perdana bukanlah perkara asing di Indonesia.

Penyanyi Angga Candra, 31, juga tidak terkecuali melalui situasi ini. Dia kini berbangga kerana lagunya, Sampai Tutup Usia bukan sahaja diterima baik oleh peminat di Indonesia malah juga turut dikenali di negara ini.

Mengulas pembabitannya Angga berkata, perjalanannya untuk sampai ke puncak bukan mudah.

"Saya berasal dari Sumatera. Dari kecil lagi saya melihat ayah bermain organ sambil menyanyikan lagu-lagu Melayu.

"Saya tamat sekolah menengah pada 2009 dan merantau dari Bengkulu ke Jakarta. Awalnya saya bukan bermain muzik. Sebaliknya saya berniaga jual air kelapa.

"Saya pergi ke Jakarta pun hanya bermodalkan gitar dan wang 150,000 rupiah kalau di sini tak sampai RM50,00. Dengan wang itu saya gunakan untuk makan dan berniaga," katanya.

Menurutnya, dia kemudian ternampak gitar yang diberikan oleh ibunya dan terfikir kenapa tidak memanfaatkannya.

"Saya mula terfikir saya sebenarnya penyanyi dan diberi bakat menyanyi dari ayah dan ibu. Kenapa tidak saya teruskannya.

"Saya kemudian berhijrah ke lokasi lain di Depok, Jawa Barat dan mula bergelar penyanyi jalanan. Selama tiga tahun jadi peny

anyi jalanan, pada 2013 saya berhenti dan datang ke Malaysia untuk bekerja.

"Saya bekerja di sebuah hotel di Pulau Pinang. Kira-kira setahun juga saya bekerja di bahagian 'housekeeping' sebelum buat keputusan berhijrah ke Jogjakarta," katanya.

Angga mulanya memilih untuk bekerja sebagai kru kapal persiaran, namun menukar fikiran pada saat akhir.

"Saya dalam dilema iaitu mempunyai duit yang banyak tapi tidak bahagia atau tiada banyak duit tapi bahagia. Esoknya saya batalkan hasrat itu dan kembali ke Jakarta.

"Saya kembali ke jalanan sebagai penyanyi dengan hasil yang lumayan iaitu 100,000 hingga 200,000 rupiah sehari. Pada 2017 saya bertemu dengan seorang YouTuber terkenal, Junaidi yang mengubah hidup saya.

"Dia ambil video saya ketika menyanyi di jalanan dan dimuat naik di YouTube. Alhamdulillah ia berjaya dapat trending nombor tiga. Saya nyanyi lagu Akad nyanyian asal Payung Teduh," katanya.

Lagu tular ini berjaya menaikkan pengikut saluran YouTube miliknya menjadi 30,000 orang. Sebelum itu sekitar 1,000 sahaja.

"Saya akhirnya berkahwin hasil dari pendapatan sebagai penyanyi jalanan. Selama tiga bulan saya kumpul wang hasil menyanyi untuk mengahwini isteri.

"Saya bermain muzik di jalanan bermula awal pagi hingga lewat malam. Alhamdulillah, dengan usaha saya ini dapatlah menampung kehidupan dengan selesa.

"Hidup ini penuh juga dugaan kerana saya pernah mengalami penurunan pengikut dan penonton yang ketara. Ketika itu isteri saya mengandung tujuh bulan," katanya.

Ketika itu, dia tidak mampu membeli sehelai baju pun untuk anaknya yang bakal lahir.

"Keadaan ekonomi kami itu sangat teruk. Akhirnya dengan baki pelanggan YouTube yang ada, saya buat prank bagi menarik perhatian ramai.

"Ternyata idea ini diterima dan dalam masa tiga bulan saya berjaya meraih tiga hingga empat juta pelanggan," katanya yang hadir ke ibu negara untuk mempromosikan Konsert Hype Night In Kuala Lumpur 2022.

Lagu Sampai Tutup Usia yang dicipta tiga tahun lalu mula popular selepas dimuatnaik Angga di YouTubenya.

Konsert Hype Night In Kuala Lumpur 2022 anjuran NJ Setia bakal diadakan di KWC StarXpo Kuala Lumpur pada 23 Oktober ini.

Selain Angga, konsert gabungan dua negara itu turut menampilkan persembahan penyanyi seperti Ezad Lazim, Amir Masdi dan Najwa Latif mewakili pemuzik Malaysia. Manakala, dari Indonesia membabitkan Tri Suaka, Nabilah Maharani, Zidan dan Valdy Nyok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 6:09 AM