Sabri (tengah) memartabatkan seni budaya dikir barat dalam naskhah terbaharu sentuhannya berjudul Tumpat Berdarah. FOTO Ihsan Razor Edge
Sabri (tengah) memartabatkan seni budaya dikir barat dalam naskhah terbaharu sentuhannya berjudul Tumpat Berdarah. FOTO Ihsan Razor Edge
Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur: Dikir barat bukan sekadar nyanyian untuk berhibur dan mencari keseronokan, tetapi ia adalah khazanah seni budaya yang memiliki keunikan tersendiri.

Bukan hanya terkenal di Kelantan, dikir barat kini kian diminati pelbagai kelompok lapisan masyarakat khususnya masyarakat Melayu dan semakin dikenali di persada antarabangsa.

Penciptaan lagu dan lirik dikir barat tidak lagi dilihat sebagai 'nyanyian tempelan', sebaliknya mengandungi pelbagai unsur nasihat, kritikan, memupuk elemen patriotisme mahupun kekeluargaan.

Menjadikan dikir barat penghubung dan negeri Cik Siti Wan Kembang itu sebagai latar tempat, syarikat produksi, Razor Edge kini tampil dengan filem televisyen (FTV) terbaharu berjudul Tumpat Berdarah arahan pengarah berkaliber, Sabri Yunus yang bakal ditayangkan di platform Tonton, tidak lama lagi.

Uniknya, filem Tumpat Berdarah bukan sahaja menjalani penggambaran 90 peratus di Tumpat dan selebihnya, Kota Bharu, tetapi turut menampilkan hampir 100 peratus pelakon kelahiran Kelantan.

Cerita asal Tumpat Berdarah yang dihasilkan oleh Datuk Saniboey Mohd Ismail ini dibintangi Oktovia Manrose, Mathni Razak, Issey Fazlisham, Asrul Faizal, Saidi Sabri, Z Zamree dan Sabri sendiri.

"Tumpat Berdarah unik kerana biarpun ia sepenuhnya menggunakan dialek Kelantan. Tema diketengahkan juga adalah sesuatu yang universal.

"Biarpun ini adalah produk 'hyper lokal', isu diketengahkan boleh menyerap masuk dengan mudah seluruh rakyat Malaysia, insya-Allah," kata Penerbit Eksekutif, Latiff Mohaideen.

Filem Tumpat Berdarah menampilkan Oktovia Manrose antara bintang utama. FOTO Ihsan Razor Edge
Filem Tumpat Berdarah menampilkan Oktovia Manrose antara bintang utama. FOTO Ihsan Razor Edge

Ringkasnya, Tumpat Berdarah mengisahkan permusuhan antara dua pemilik kilang padi, Wan Nawang Kelaboran dan Mat Tok Kaya Sungai Pinang pada 1961 yang tiba ke kemuncak dalam perebutan menguasai perniagaan padi di Tumpat.

Permusuhan berpanjangan sehingga hari ini walaupun kebanyakan kedua-dua puak sudah makin lupa sejarah permusuhan berkenaan.

Oleh kerana sejarah turun temurun, mereka tetap bermusuh. Sehingga 2020, permusuhan dua keluarga masih berlanjutan sehingga generasi cucu.

Namun, percintaan antara cucu Wan Nawang dan Mat Tok Kaya melanjutkan permusuhan serta menyaksikan konflik paling luar biasa.

Ia juga menjadi penentu sama ada perang akan berlaku atau mampukah cinta menyejukkan dunia.

Sementara itu, khas buat penonton, filem Tumpat Berdarah kali pertama akan ditayangkan di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, Kota Bahru, jam 8.30 malam esok, sebelum tayangan secara rasmi di platform Tonton, tidak lama lagi.

Tayangan perdana anjuran Yayasan Datuk Che Abdullah Al-Lambori ini akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama, Sabri, Saniboey, Latiff dan Penerbit Eksekutif Tumpat Berdarah, Razif Kasmar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 4:00 PM