Zaara Talita


Kuala Lumpur: Drama bersiri, Ganjil arahan Datuk Yusry Abd Halim menang empat kategori di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022.

Ganjil yang menampilkan lakonan Fattah Amin, Diana Danielle, Izzue Islam dan Fatin Afeefa itu mengungguli dua kategori utama iaitu Drama Bersiri Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Ia turut menang dua lagi kategori iaitu Sinematografi Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Penerbit Eksekutif Razor's Edge Pictures yang menerbitkan drama itu, Datuk Saniboey Mohd Ismail berkata, pihaknya turut berbangga kerana Ganjil memperoleh pencalonan paling banyak iaitu empat kategori di AACA 2022.

"Sukar untuk saya ungkapkan kegembiraan dan rasa bersyukur yang mana kerja keras yang mendatangkan hasil. Ganjil ini saya ilhamkan dari bentuk ceritanya lebih enam tahun sebelum dijadikan sebuah drama bersiri.

"Apa yang menarik, kami berjaya memperoleh empat pencalonan iaitu pencalonan paling banyak dari Malaysia. Syukur, ini adalah satu pencapaian indah buat seluruh produksi," katanya.

Menurutnya, Ganjil juga adalah satu-satunya judul fiksyen dengan empat nominasi dan saingan terdekat ialah Gold Mountain dari Australia sebanyak tiga pencalonan dan Wedding Agreement The Series dari Indonesia juga sebanyak tiga pencalonan.

Saniboey berkata, semuanya bermula apabila dia bertemu dengan penulis, Evelyn Afnilia di Jakarta, Indonesia sebelum Ganjil mendapat sentuhan pengarah handalan, Yusry dan barisan produksi yang hebat-hebat.

"Kami bawa Malaysia ke peringkat antarabangsa! Terima kasih buat semua yang terbabit. Kita berjaya melakukannya!" katanya.

Drama 10 episod yang turut menampilkan lakonan Datuk Seri Eizlan Yusof, Aida Aris dan Imuda itu dikatakan lain dari yang lain berbanding drama-drama Melayu sedia ada.

Ia yang ditayangkan di platform penstriman video, Viu pada 30 September tahun lalu diinpirasikan daripada salah satu filem kegemaran Saniboey iaitu The Lovely Bones arahan Peter Jackson pada 2009.

Idea asal dan jalan cerita Ganjil diilhamkan Saniboey, manakala skripnya dihasilkan tiga penulis iaitu Evelyn Afnilia, Yasmin Yaacob dan Azhar Amirulhisyam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 1:23 PM