Hantaran Aaron di Instagram semalam.
Hantaran Aaron di Instagram semalam.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pengumuman mengejutkan pelakon, Datuk Aaron Aziz yang mendakwa menarik diri daripada berlakon dalam filem The Original Gangster di Instagram semalam hanya sekadar 'prank' kepada penerbit dan pengarah filem itu iaitu Syamsul Yusof.

Aaron ketika dihubungi berkata, dia mengesahkan masih memegang peranan sebagai AG dan sedang giat menjalani latihan seni mempertahankan diri.

"Apa yang dikongsikan hanya sekadar 'prank' kepada Syamsul. Saya masih terbabit dalam filem ini dan sedang sibuk dengan latihan seni pertahankan diri dengan barisan pelakon yang terbabit," katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Razor's Edge Pictures yang menerbitkan filem itu, Datuk Saniboey Mohd Ismail berkata, dia terkejut dengan kenyataan Aaron itu dan menghubunginya untuk mendapatkan kepastian.

"Selepas melihat hantaran yang dimuat naik Aaron di Instagram, saya terus menghubunginya. Namun, dia maklumkan ia sekadar gurauan sesama mereka.

"Pasukan kami sedang sibuk membuat persiapan rapi sebelum penggambaran filem dimulakan pada 1 November ini. Pelakon juga sangat komited menjalani latihan pertahankan diri dan masing-masing sangat teruja hingga berada di pejabat saya sehingga lewat malam.

"Buat masa ini saya tidak dapat kongsikan butiran lokasi penggambaran filem ini kerana pihak kami sedang menguruskannya lagi. Insya-Allah dua minggu lagi semuanya akan diputuskan," katanya.

Selain Aaron, The Original Gangster bakal menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Nas-T, Soffi Jikan, Pablo Amirul dan pelakon aksi Indonesia, Yayan Ruhian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 4:30 PM