SABRI (tengah) bersama pelakon utama Tumpat Berdarah, Issey (kanan) dan Asrul.
SABRI (tengah) bersama pelakon utama Tumpat Berdarah, Issey (kanan) dan Asrul.
Affan Rostam


SELAIN pelawak dan pelakon, kredibiliti Sabri Yunus sebagai pengarah turut hebat.

Pok Ya Cong Codei, Pok Ya Cong Codei: Siti Di Hati, Sanggul Beracun, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Satu Kampung Dua Orang antara karya arahannya yang menyerlah.

Terbaharu, Sabri tampil dengan filem televisyen (FTV) berjudul Tumpat Berdarah lakonan Oktovia Manrose, Mathni Razak, Issey Fazlisham, Asrulfaizal Kamaruzaman, Saidi Sabri dan Z Zamree.

Sabri turut berlakon sebagai guru dikir barat iaitu Nik Dir dalam FTV ini.

Ia yang mengetengahkan keistimewaan dikir barat di Kelantan cetusan idea penerbit Razor's Edge Pictures, Datuk Saniboey Mohd Ismail wajar dipuji.

Menjadikan kisah permusuhan antara dua pemilik kilang padi di Tumpat, Kelantan untuk menguasai perniagaan sejak 1961 sehingga tercetusnya dendam tradisi dua keluarga berjaya menimbulkan keinginan menontonnya hingga selesai.

Filem yang menjalani penggambaran selama 14 hari sekitar Tumpat dan Kota Bharu itu dimulakan dengan babak yang memaparkan persengketaan Wan Nawang lakonan Z Zamri dan Mat Tok Kaya (Muhamad Zaidi Yunus) dalam lokap.

Perseteruan tidak terhenti, malah disambung oleh anak mereka iaitu Nuari yang juga anak Mat Tok Kaya (Issey Fazlisham) dan Wan Nawi, anak Wan Nawang (Asrul Faizal).

Lebih memburukkan keadaan apabila adik Nuari iaitu Anis (Oktovia Manrose) menjalin hubungan cinta dengan adik Wan Nawi iaitu Wan Zaki (Mathni Razak).

Boleh dikatakan, kekuatan Tumpat Berdarah dilihat terletak kepada Issey dan Asrul kerana memiliki bakat sebagai tukang karut dalam kumpulan dikir barat.

Masing-masing cemerlang menghidupkan watak sebagai musuh tradisi, sekali gus menjadi penghalang terbesar kepada kisah percintaan adik mereka.

SANIBOEY (dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, Sabri, Razif Kasmar dan Latiff Mohaideen pada majlis pratonton FTV, Tumpat Berdarah di pejabat Razor’s Edge Pictures, baru-baru ini. - FOTO Aswadi Alias
SANIBOEY (dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, Sabri, Razif Kasmar dan Latiff Mohaideen pada majlis pratonton FTV, Tumpat Berdarah di pejabat Razor’s Edge Pictures, baru-baru ini. - FOTO Aswadi Alias

KISAH permusuhan dua pemilik kilang padi dileraikan menerusi kesenian Kelantan dalam Tumpat Berdarah.
KISAH permusuhan dua pemilik kilang padi dileraikan menerusi kesenian Kelantan dalam Tumpat Berdarah.

ANTARA lokasi menarik Tumpat Berdarah di Kelantan.
ANTARA lokasi menarik Tumpat Berdarah di Kelantan.

SEKITAR penggambaran Tumpat Berdarah.
SEKITAR penggambaran Tumpat Berdarah.

Kedegilan Anis dan Wan Zaki untuk meneruskan percintaan dengan mengabaikan permusuhan antara keluarga mendapat tentangan hebat abang termasuk ibu bapa, sekali gus menjadi pendakian plot cerita yang lebih memukau.

Turut diselitkan paparan keindahan perkampungan sekitar Tumpat dan Kota Bharu dengan teknik kamera sehingga berjaya memberi manifestasi sebenar mengenai keindahan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Selain memberi tumpuan kepada jalan cerita, elemen seperti itu dilihat sebagai usaha mempromosikan pelancongan di Kelantan, malah keseluruhan barisan pelakon adalah anak jati negeri itu.

Lebih mencuri tumpuan diselitkan babak aksi pada pertengahan filem membabitkan Wan Zaki dan Nuari bersama konconya yang mampu membangkitkan keinginan untuk terus menonton.

Seperti filem lain, Tumpat Berdarah tidak terkecuali dengan penamat gembira, namun apa yang unik penyatuan dua keluarga dileraikan menerusi persembahan dikir barat.

Guru dikir barat, Nik Dir (Sabri Yunus) menjadi watak penting untuk menyatukan kedua-dua keluarga.

Segala persengketaan berlaku sejak puluhan tahun lalu dirungkai oleh Nik Dir menerusi persembahan dikir barat selama 15 minit di penghujung filem.

Ia adalah babak 'eksperimen' yang cuba dibawa penerbit, selain memaparkan Wan Zaki dan Nuari yang saling mengakui kesilapan menerusi dikir barat.

Secara peribadi, keseluruhan filem berjaya mengetengahkan budaya masyarakat Kelantan di samping memberi pengajaran bahawa konflik tercetus tidak wajar bersambung dan diteruskan oleh generasi anak cucu.

Tumpat Berdarah bakal ditayangkan di platform penstriman, Tonton tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 6:51 AM