IKHRAM
IKHRAM
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya hanya tayang badan dalam filem, tidak drama!" 

Demikian tegas pelakon Ikhram Juhari mengenai keputusannya 'menayang badan' dalam filem Malbatt Misi Bakara selepas memiliki 'six pack' dan bentuk tubuh kekar.

 Ikhram, 30, berkata, dia bagaimanapun berfikir banyak kali sebelum membuat adegan itu kerana pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak berbuat demikian. 

"Sebelum ini saya ada mengeluarkan kenyataan tidak mahu tayang badan, tetapi sekarang saya lakukannya. Sejujurnya, saya berfikir banyak kali sebelum memutuskan untuk tayang badan. Namun, saya hanya buat untuk filem saja tetapi tidak untuk drama.

 "Saya hanya tayang badan untuk kerja bukannya suka-suka. Setakat ini peminat memahami tujuan saya berbuat demikian. Andai dikecam selepas ini, saya sudah bersedia," katanya yang ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Malbatt Misi Bakara, baru-baru ini. 

Menurut ikhram, babak tidak berbaju dalam filem aksi ketenteraan itu adalah satu keperluan selepas melihat kesesuaian keadaan dan skrip. 

Dalam masa sama, Ikhram berkongsi untuk menjayakan watak Lans Koperal Wahid  dalam filem Malbaat Misi Bakara, dia perlu mengamalkan diet ketat selama dua bulan. 

"Rutin saya sebelum penggambaran bermula adalah bersenam di gimnasium, bersauna  dan berjemur demi mendapat kulit yang gelap. 

"Saya juga berhabis dalam RM200 sehari demi pemakanan yang berkhasiat. Saya hanya boleh mengambil protein dengan makan enam biji telur masak untuk sarapan dan ikan tilapia rebus buat hidangan tengah hari selain buah-buahan. 

"Saya tidak boleh mengambil karbohidrat kerana akan menyebabkan perut buncit, sebab itu sebelum dan semasa penggambaran memang saya amat menjaga pemakanan," katanya. 

Selain Ikhram, filem arahan Adrian Teh itu turut dibintangi Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Adlin Aman Ramlie, Bront Palare, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Dafi Ismail Sabri, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi dan Theebaan G.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 12:27 PM