Adrian Teh pada sidang media tayangan perdana filem Malbatt misi Bakara. FOTO ROHANIS SHUKRI
Adrian Teh pada sidang media tayangan perdana filem Malbatt misi Bakara. FOTO ROHANIS SHUKRI
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Filem Malbatt: Misi Bakara arahan Adrian Teh adalah 90 peratus berdasarkan kisah benar berkaitan askar Malaysia yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia dalam kejadian Black Hawk Down.

Menurut Adrian, dia mengambil inisiatif sendiri mengkaji dan menemubual askar anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (MALBATT) yang terbabit dalam misi itu pada 1993.

"Filem ini memang 90 peratus adalah benar. Benda-benda kecil itu pun memang benar berlaku sebagai contoh dialog Hairul yang mengatakan Malaysia berada di tengah-tengah antara Thailand dan Singapura.

"Tapi ada beberapa bahagian diletakkan sedikit hiburan untuk pastikan ia lebih dekat dengan penonton terutama watak Isa (lakonan Safwan Nazri)," kata Adrian ketika sidang media previu filem itu yang didakan di GSC Cinema, IOI City Mall 2, Putrajaya pada Selasa.

Cabaran buat Adrian hanyalah pada skrip di mana dia ingin pastikan momen dan pengorbanan setiap watak disampaikan dengan cukup adil kerana ia berdasarkan kisah benar.

"Bagi saya, kesukaran ketika nak buat skrip sebab nak pastikan momen, pengorbanan setiap watak disampaikan dengan betul. Dari segi durasi tayangan pula tak ada masalah," katanya. 

Menurut Adrian lagi, dia memang ingin bongkar dan memberi kredit kepada askar kita dalam kejadian Black Hawk Down yang tidak pernah diceritakan di filem Hollywood sebelum ini.

"Sebenarnya saya agak marah apabila bila askar kita tidak diberikan kredit dalam filem Black Hawk Down sebelum ini. Jadi, ini adalah karya yang bertujuan dedahkan pasal pengorbanan askar kita pula," katanya.

Filem Malbatt: Misi Bakara dibintangi nama handalan termasuk Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi dan Tony Eusoff.

Ia bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 24 Ogos ini dan menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di layar IMAX dan juga tersedia dalam format 4DX dan Dolby Atmos.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 11:12 AM