BRONT Palarae sanggah pandangan segelintir mahukan selebriti berkongsi semua perkara termasuk peribadi di media sosial
BRONT Palarae sanggah pandangan segelintir mahukan selebriti berkongsi semua perkara termasuk peribadi di media sosial
Zaara Talita

ADA golongan anak seni menyanggah pandangan segelintir pihak menganggap selebriti milik masyarakat sehingga perlu berkongsi semua perkara termasuk hal peribadi.

Terus berpegang pada prinsip, pelakon berpengalaman, Bront Palarae berpendapat masyarakat berhak mengetahui perkembangan aktiviti seninya kerana menjadi sebahagian tuntutan kerjaya namun selebriti ada pilihan untuk mengunci mulut apabila menyentuh urusan peribadi.

Dikenali sebagai artis yang cukup berahsia mengenai hal peribadi, pelakon berkaliber itu lebih selesa masyarakat menilai hasil kerjanya.

"Saya tidak setuju jika ada yang berpendapat artis milik masyarakat. Kami cuma menghiburkan masyarakat, itu tugas dan tanggungjawab. Tetapi, itu tidak bermakna setiap inci kehidupan kami perlu diketahui umum.

"Sekurang-kurangnya ada sedikit bahagian yang disimpan sebagai ruang peribadi. Cukup keluarga dan mereka yang terdekat tahu, selebihnya biar saya simpan untuk diri sendiri.

"Itu cara saya. Jika artis lain bersedia untuk berkongsi kehidupan peribadi mereka, silakan. Itu hak masing-masing. Namun itu tidak bermakna saya menyembunyikan atau menyorokkan keluarga. Jika ke pusat beli-belah dan sebagainya, saya pegang tangan saja.

"Cuma mungkin keluarga sendiri kurang selesa menjadi perhatian. Dulu anak saya suka ke majlis atau acara, namun semakin dewasa dia menjadi kurang selesa," katanya.

Menurut Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, dia menceburi bidang seni kerana mahu berkongsi bakat, bukan bersandar cerita kontroversi yang tidak membantu namanya bertahan.

Katanya, media sosial dijadikan diari kerjaya seni dan akur menjadi perantara untuk lebih dekat dengan peminat yang menyokong perjalanan seninya.

"Tidak mahu menyinggung mana-mana pihak namun saya berbangga sepanjang pembabitan dalam bidang seni, saya berjaya untuk tidak terpampang dalam majalah beraksi di tepi kolam renang sambil tidak berbaju dan sebagainya.

"Walaupun orang kata 'kewajipan' bagi setiap selebriti namun saya bangga dapat menepis daripada menjadi sebahagian daripada itu. Tidak dinafikan saya pernah hampir goyah kerana terpengaruh namun mujur dapat menepisnya," katanya.

BRONT selesa tidak terlalu menonjolkan perihal peribadi.
BRONT selesa tidak terlalu menonjolkan perihal peribadi.

Kerjaya seni Bront semakin menyerlah merentasi sempadan. Bukan saja popular di Malaysia, pelakon ini mula mengumpul peminat di Indonesia. Semuanya gara-gara impak filem Pengabdi Setan yang ditayangkan hampir lima tahun lalu.

Terbaru, pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini muncul dengan filem terbaru, Malbatt: Misi Bakara menjayakan watak Mejar Adnan.

Diadaptasi daripada kisah benar membabitkan kehebatan anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt), filem yang menelan kos pembikinan RM20 juta itu turut membabitkan penggunaan imej janaan komputer (CGI) paling maksimum dalam sejarah filem tempatan.

Ia berkisar misi menyelamat lebih 70 tentera Amerika Syarikat (AS) terperangkap di pasar Bakara, Mogadishu, Somalia yang sarat dengan beberapa adegan aksi dan mendebarkan.

Berbeza naratif filem versi Hollywood, Black Hawk Down ditayangkan pada 2001 yang langsung tidak memaparkan realiti sebenar 'hero' negara yang sanggup menggadai nyawa menyelamatkan anggota tentera AS, Malbatt ada DNA tersendiri.

"Memandangkan filem ini menampilkan barisan hero tempatan, timbul rasa gusar sama ada boleh diadukkan dan sekepala bersama. Namun tempoh penggambaran banyak menyatukan kami dan rapat seperti keluarga.

"Tidak timbul istilah siapa lebih menonjol dan sebagainya, bagi saya setiap pelakon menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk menghidupkan watak. Malah, pujian harus diberikan buat Shaheizy Sam yang membawakan watak LKPL Ramlee.

"Jika bercerita mengenai cabaran, setiap watak ditawarkan ada keunikan dan cabarannya tersendiri. Cuma kali ini, tekanan datang daripada pandangan tentera sendiri. Sama ada kami masing-masing berjaya melakonkan watak anggota tentera dengan baik," katanya.

Selain Bront dan Sam, filem arahan Adrian Teh ini menampilkan lakonan Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifli, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Nafiez Zaidi, Dini Schatzmann, Gambit Saifullah, Theebaan G, Safwan Nazri dan Ikhram Juhari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 6:00 AM