Shaheizy Sam
Shaheizy Sam
Sudirman Mohd Tahir


Kredibiliti pelakon terkenal, Shaheizy Sam dalam melakonkan sesuatu watak tidak perlu dipertikaikan. Deretan filem yang dibintangi membawa namanya di puncak kegemilangan.

Lebih membanggakan apabila kebanyakan naskhah itu menjadi filem pecah panggung selain turut melayakkannya dinobatkan dengan pelbagai anugerah.

Kerja keras dan komitmen yang diberikan Shaheizy Sam, 40, atau mesra disapa Sam dalam sesebuah filem antara resipi kejayaan hingga menjadikan dia pelakon yang berada dalam kelas tersendiri.

Terbaharu, Sam bakal muncul dalam filem Malbatt Misi Bakara yang dijangka ditayangkan pada Ogos tahun depan.

Menurutnya, menerusi filem itu menuntut dia untuk tampil bertenaga dan sihat.

"Sama juga dengan filem sebelum ini. Sudah tentu saya nak nampak elok sebab dua tahun duduk rumah dan banyak makan. Jadi bila dapat skrip dan tandatangan kontrak saya terpaksa juga buat.

"Bila umur dah masuk 40 tahun ini, saya dah kena buat kerja itu dua kali ganda. Maksudnya, macam dulu masa filem Polis Evo, 20 hari ke sebulan boleh selesai. Tapi bila sekarang metabolisme badan pun dah mula lemah jadi nak turun itu lambat sangat. Itu satu cabaran kalau nak kuruskan badan. Sekarang ini saya perlu kekalkan badan saya kalau tidak bila membesar lagi selepas ini saya tak tahu mampu turunkan lagi atau tidak.

"Tempoh untuk turun lebih kurang dua hingga tiga bulan. Bila nak kuruskan badan saya tak pernah timbang berat. Saya cuma timbang lemak. Daripada 20 ke 30 peratus, ia turun kepada 10 peratus," katanya.

Pastinya, pertimbangan untuk mendapatkan persetujuan Sam bagi membintangi filem arahan Adrian Teh itu bukan saja menerusi watak dan jalan cerita, tapi juga bayaran yang diberikan adalah berbaloi dengan segala kesungguhan yang dibuat.

Malah, filem yang menjadi antara karya termahal dalam sejarah produksi tempatan ini juga turut membabitkan bayaran barisan pelakon.

"Saya tak adalah rasa bayaran saya ini mahal, cuma saya rasa berdasarkan pengalaman yang saya dah buat atas kerja saya dari dulu, usaha saya yang mungkin semua orang dalam produksi dah tahu untuk menjayakan watak itu dan saya rasa berbaloi dengan harga.

"Nak kata saya tetapkan harga itu tak adalah sampai nak minta RM500,000 untuk satu filem, cuma kena berbaloi. Mungkin bagi saya kena berbaloi dengan hasil kerja saya. Sudah tentu kalau mereka perlukan badan yang segak, ada kos untuk saya dapatkan badan sebegitu. Untuk badan macam itu bukan sekadar pergi gimnasium saja tapi pemakanan pun kena jaga," katanya.

SAM bertuah dapat berlakon dalam Malbatt Misi Bakara.
SAM bertuah dapat berlakon dalam Malbatt Misi Bakara.

Latihan tentera

Berkongsi lanjut mengenai pembabitannya dalam filem Malbatt Misi Bakara, Sam berkata, dia perlu menjalani latihan insentif di kem tentera di bawah seliaan tentera sebenar.

"Filem ini besar bagi saya. Dari segi set penggambaran dan pengalaman berkampung di Turkiye. Daripada tak tahu cerita sebenar di Somalia tahun 1993 dan kali ini kita nampak cerita sebenarnya. Jadi, pengalaman yang sangat seronok dan berbeza daripada Polis Evo yang saya pernah buat sebelum ini.

"Latihan tak adalah seksa. Kadang-kadang bila tengok latihan askar, kita sampai takut nak masuk sebab ingatkan latihannya adalah teruk dan mengerikan. Tapi sebenarnya tak, ia cuma nak kita disiplin saja. Apa perkara harian yang perlu dibuat, kita cuma perlu disiplin dan jadikan ia sebagai satu sistem supaya sebati dengan kita. Ia tak seksa dan tak susah.

"Sudah tentu mereka pun perlu tanya juga kita punya keadaan kesihatan sebelum disuruh buat sesuatu. Mana yang mampu mereka minta buat, apa yang tak mampu mereka memahami sebab umur kita ni pun dah meningkat. Mereka pun perlu sesuaikan diri sebagai seorang pelakon yang penting adalah yang kita perlu faham mengenai tentera," katanya.

Dalam masa sama, Sam berasa bertuah dan bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada individu yang menjayakan filem yang diangkat dari kisah benar itu.

"Saya dipanggil antara 2019 ke 2020. Dari peringkat pertama mereka panggil saya. Saya tahu cerita ini sangat besar, saya tahu ini cerita sejarah yang setiap rakyat Malaysia perlu tahu. Bila dapat sudah tentu saya rasa macam dihargai. Bagi saya ini adalah cerita terbaik dan saya dipanggil untuk bersama dengan mereka. Saya memang bersyukur.

"Sebelum ini kita tak pernah tahu apa yang terjadi di Somalia itu. Saya tak boleh bayangkan kalau saya betul-betul ada di situ. Lakonan saya daripada watak sebenar tapi mungkin watak ini difiksyenkan menjadi nama Koperal Ramli. Apa yang dilalui oleh watak ini sangat mengerikan. Antara yang hebat dilalui oleh orang-orang di Somalia ketika itu," katanya.

Malbatt Misi Bakara dipersembahkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama enam syarikat penerbitan gergasi iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw.

Filem ini adalah kisah benar mengenai operasi untuk membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di dalam peperangan saudara di Somalia. Cerita ini pernah diketengahkan di dalam filem Hollywood iaitu Black Hawk Down.

Menerusi filem ini, penonton berpeluang untuk mengetahui naratif malam kejadian itu dan mengenali wira yang sebenar.

Filem Malbatt Misi Bakara menampilkan barisan pelakon Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Gambit Saifullah dan Theebaan G.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 6:00 AM