Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Filem Malbatt : Misi Bakara mencatat kutipan sebanyak RM10.5 juta selepas empat hari tayangan sejak 24 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Operasi GSC Movies merangkap Penerbit Eksekutifnya, Tung Yow Kong berkata, pihaknya bersyukur dengan sokongan penonton yang luar biasa terhadap filem itu.

"Pihak kami amat berpuas hati dengan kutipan empat hari tayangan setakat ini dan berharap penonton akan terus memberi sokongan pada filem tempatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya sasaran dari segi kutipan pula,Yow Kong berkata, sebagai salah satu syarikat menerbitkan filem Malbatt : Misi Bakara, sudah pasti pihak kami mensasarkan kutipan yang terbaik untuk filem ini.

"Pihak kami berharap filem ini akan memecah rekod kutipan filem terbitan kami sebelum ini iaitu Paskal The Movie dan Air Force The Movie ," katanya.

Ditanya sama ada jumlah tayangan akan ditambah sempena musim cuti sekolah, Yow Kong berkata, setakat ini filem itu ditayangkan di 160 lokasi pawagam termasuk tujuh di Brunei Darussalam.

"Seperti yang kita sedia maklum, jumlah tayangan bergantung kepada jumlah permintaan. Buat masa ini, filem ini sedang ditayangkan mengikut jumlah permintaan di setiap lokasi," katanya.

Filem arahan Adrian Teh ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifli, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Nafiez Zaidi, Dini Schatzmann, Gambit Saifullah, Theebaan G, Safwan Nazri dan Ikhram Juhari

Ia berdasarkan dari kisah benar mengenai operasi tentera Malaysia membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap ketika perang saudara di Somalia pada 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 12:53 PM