Presiden Seniman, Zed Zaidi. FOTO File NSTP
Presiden Seniman, Zed Zaidi. FOTO File NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Cadangan mengenai satu usul terbaik dilaksanakan supaya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) boleh menyediakan formula dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan bertanggungjawab berkaitan isu-isu di media sosial.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang kini Ahli Lembaga Pengarah Finas, Zed Zaidi berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap 'content' media sosial dan digital yang tidak dikawal atau ditapis hanya boleh dibuat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Bagi Seniman pula dengan perkara-perkara yang ada pada hari ini melalui aduan, akan membawa satu usul yang terbaik agar di peringkat Finas boleh menyediakan formula dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan terbabit seperti SKMM untuk menangani masalah ini.

"Seniman adalah persatuan yang boleh mengangkat isu ini melalui Finas yang akan memikirkan formula untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dengan kerjasama SKMM supaya satu garis panduan boleh dibuat dan menjadi rujukan kepada industri seni," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zed lagi, memang menjadi peranan dirinya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas untuk menghubungkan satu jalinan kerjasama strategik bersama badan-badan kerajaan terbabit dengan industri.

"Jalinan kerjasama ini boleh memberi manfaat kepada Finas supaya apabila nak buat satu prosedur atau garis panduan ia akan merangkumi semua kerana sebelum ini pun Finas tidak ada kerjasama strategik. Tetapi, hanya 'one off' saja dengan badan-badan tertentu yang berkaitan," katanya.

Terdahulu, timbul isu berhubung pendedahan dibuat oleh seorang pelakon remaja mengenai sikap buruk bapanya dalam satu program di YouTube yang mana, turut diperkatakan mengenai pakaian dan perbuatan 'kurang manis' mereka yang terbabit ketika ia berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 1:56 PM