ZED Zaidi (dua dari kiri) dan Nuhaqimy bertukar-tukar dokumen ditandatangani sambil disaksikan Hasan  (kiri) dan Tan ketika Pameran Penerbangan Selangor di Skypark Rac, Subang.
ZED Zaidi (dua dari kiri) dan Nuhaqimy bertukar-tukar dokumen ditandatangani sambil disaksikan Hasan (kiri) dan Tan ketika Pameran Penerbangan Selangor di Skypark Rac, Subang.
Norhayati Nordin


Golongan selebriti mempunyai pengaruh tersendiri ke atas peminat. Apatah lagi, segala tindakan dan aktiviti dilakukan mereka pasti akan mendapat perhatian.

Menyedari hubungan selebriti dan peminat yang umpama 'aur dengan tebing' membuatkan satu kerjasama dijalin untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti sukan udara.

Justeru, menerusi Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) kini sepakat memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan selebriti menyertai sukan udara.

Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, kerjasama itu untuk membuka peluang kepada selebriti menyertai sukan udara menerusi latihan teknikal keselamatan dan pelesenan.

"Banyak aktiviti sukan udara ini yang menarik untuk disertai selebriti. Antaranya penerbangan pesawat ringan, paragliding, paramotor, sukan dron dan sebagainya.

"Yang pasti kena ada latihan cukup termasuk lesen. Jadi, untuk itu kerjasama dua hala dibuat antara Seniman dan MSAF ini adalah langkah tepat bagi menarik lebih ramai selebriti menyertai sukan udara.

"Kami di Seniman sentiasa berusaha memeterai kerjasama positif dengan mana-mana pihak tertentu yang berminat supaya selebriti mendapat lebih peluang menimba ilmu dan pengalaman terhadap cabang aktiviti sihat," katanya.

PELAKON utama filem Air Force The Movie:
PELAKON utama filem Air Force The Movie:

Zed berkata, Seniman amat aktif untuk mencari peluang jalinan kerjasama kerana sedar tindakan dilakukan itu adalah langkah bagi bersama-sama mengembangkan industri hiburan. Dia juga percaya ramai selebriti yang meminati sukan udara.

"Harapan saya supaya selebriti kita tidak melepaskan peluang ini kerana Seniman juga bercadang membawa mereka (selebriti) menyertai penganjuran acara sukan udara diadakan oleh MSAF yang pasti memberi banyak manfaat," katanya.

Sementara itu, Presiden MSAF, Nurhaqimy Ismail berkata, pihaknya amat teruja dan melihat positif kerjasama selama tiga tahun dengan Seniman itu sebagai usaha menyemarakkan lagi pengetahuan aktiviti sukan udara kepada selebriti dan orang ramai.

"Saya berasakan dengan membentuk kerjasama antara MSAF dan Seniman ini pastinya dapat membantu kami menyalurkan maklumat dan kesedaran kepada masyarakat berkaitan sukan udara.

PELAKON  filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang hadir pada Pemeran Penerbangan Selangor di Skypark Rac, Subang.
PELAKON filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang hadir pada Pemeran Penerbangan Selangor di Skypark Rac, Subang.

"Dalam soal ini, MSAF juga mendapati selebriti yang memiliki peminat secara tidak langsung boleh bersama-sama menolong meningkatkan perkongsian info dalam pembangunan sukan udara di Malaysia," katanya.

Menurut Nurhaqimy, melihatkan juga kejayaan filem berkisar perjuangan seperti Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, baru-baru ini, membuat MSAF lebih bersemangat membentuk jalinan kerjasama MoU itu.

Selain Zed dan Nurhaqimy, hadir sama pada majlis menandatangani MoU antara Seniman dan MSAF di Pameran Penerbangan Selangor di Skypark Rac, Subang ialah Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 6:30 AM