Puteri Sarah. FOTO Rohanis Shukri
Puteri Sarah. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah, 37, lega apabila wanita dikenali Ira Kazar yang didakwa mengganggu rumah tangganya bersama pengarah filem, Syamsul Yusof sudah dipanggil untuk memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), minggu lalu.

Puteri Sarah berkata, menerusi aduan yang sudah dibuatnya di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sebelum ini, siasatan ke atas wanita terbabit kini giat dijalankan oleh pihak berkaitan dan semoga semuanya lancar.

"Apa yang saya boleh beritahu, memang dia (Ira) sudah pun dipanggil dan tampil memberikan keterangan (kepada pihak JAWI). Sekarang, pegawai penyiasat sedang menjalankan siasatan selanjutnya.

"Walaupun siasatan dilakukan mengambil masa, tapi saya lega kerana ia terus berjalan. Insya-Allah selepas selesai siasatan itu, saya akan bertindak ke peringkat seterusnya," katanya yang ditemui pada majlis sidang media teater Maduku Terpaling Kalut hari ini.

Menurut Puteri Sarah lagi, ada dua aduan sudah dibuatnya iaitu satu di Mahkamah Syariah untuk dakwaan orang ketiga, manakala di Mahkamah Sivil pula bagi dakwaan melakukan gangguan.

"Apapun, saya berasa amat lega kerana segala usaha yang dilakukan ini adalah bagi melindungi keluarga dan anak-anaknya saya. Harapan dan doa saya agar kemenangan akan berpihak kepada saya.

"Semua yang saya perjuangkan ini untuk diri sendiri dan anak-anak. Ia memang satu proses yang panjang, tetapi setidak-tidaknya Alhamdulillah, ada menunjukkan perkembangan.

"Saya juga tidak kisah menunggu lama, asalkan ada pergerakan tentang siasatan dilakukan ini. Bagaimanapun, syukurlah nampaknya usaha keras yang saya lakukan terus berjalan," katanya.

Sarah juga mendedahkan mahkamah telah mengeluarkan arahan injuksi yang melarang Ira mendekati dia dan seluruh ahli keluarganya. Katanya, sekarang hidupnya berasa lebih aman.

Terdahulu, akhbar ini pada 20 Ogos lalu melaporkan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail mengesahkan Ira Kazar hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:23 PM