PUTERI Sarah hadir bagi sebutan semula kes perceraian/JKP terhadap Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PUTERI Sarah hadir bagi sebutan semula kes perceraian/JKP terhadap Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, perlu memfailkan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah oleh suaminya, Syamsul Yusof, 39, seperti didakwa pernah berlaku dalam laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), sebelum kes perceraian mereka dapat diselesaikan secara hakam.

Perkara ini didedahkan peguam Syamsul, Azmi Mohd Rais yang ditemui berhubung keputusan JKP membabitkan kedua-dua pihak yang berlangsung pada 24 Mac lalu.

"Laporan JKP dikeluarkan hari ini menyatakan terdapat dakwaan daripada Puteri Sarah adanya lafaz cerai. Jadi, nak tak nak hakim meminta isu lafaz cerai itu diselesaikan terlebih dulu sebelum prosedur kes ini diteruskan.

"Bagaimanapun, Puteri Sarah sebagai plantif yang mendakwa (ada lafaz cerai) dan dialah yang perlu membuat pengesahan cerai itu. Ini kerana, anak guam saya (Syamsul) tidak tahu mengenainya (lafaz cerai), " katanya ditemui selepas prosiding keputusan JKP di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.

Azmi berkata, prosedur JKP sepatutnya dilakukan secara bersama dan bukanlah berasingan bagi memudahkan mencapai keputusan.

"Pengerusi JKP memberi keterangan mengenai cara pengendalian sesi JKP dan berpendapat sesi itu sepatutnya dibuat secara berasingan mengikut situasi.

"Itulah masalahnya apabila JKP dibuat secara berasingan. Ambil nota, tetapi pihak dan wakil tidak bercakap antara satu sama lain. Jadi, isu lafaz cerai ini anak guam saya tidak menjawab dalam prosedur JKP," katanya.

Sehubungan itu, Azmi berkata sebutan status pengesahan lafaz cerai itu akan diketahui pada 14 Jun depan.

Terdahulu, tular mengenai dakwaan Puteri Sarah yang pernah diceraikan sebanyak dua kali oleh suaminya.

Menurut laporan, terdapat sumber yang mengatakan kedua-dua lafaz talak pernah direkodkan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Pada 18 April lalu, Syamsul dan Puteri Sarah gagal menemui kata sepakat sekali gus proses lafaz cerai yang sepatutnya berlangsung pada hari tersebut tergangguh.

Antara sebab Syamsul menolak untuk melafaz cerai ialah keengganan Puteri Sarah menarik saman terhadap madunya, Ira Kazar dan beberapa ahli keluarga lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 6:24 PM