MAN Kidal (kanan) bersama Ramli Sarip pada sidang media konsert Lefthanded ‘Seruan’ X Datuk Ramli Sarip - Live in Singapore. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
MAN Kidal (kanan) bersama Ramli Sarip pada sidang media konsert Lefthanded ‘Seruan’ X Datuk Ramli Sarip - Live in Singapore. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA belum terdesak nak cari rezeki dengan cara busking. Saya juga bukan bermaksud nak jatuhkan nilai diri tapi hanya berniat untuk bantu golongan buskers,” kata pemain gitar legenda, Man Kidal.

Man Kidal, 56, yang juga pemain gitar Lefthanded berkata demikian berikutan dakwaan segelintir peminat mengatakan dia beralih arah sebagai buskers untuk meraih pendapatan cara mudah.

Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood berkata, pelbagai kesimpulan dibuat pelbagai pihak tetapi dia ada alasan apabila bercampur dengan buskers.

“Ada yang kata saya begitu, tapi kalau betul pun saya terdesak nak cari rezeki, saya takkan ke situ. Banyak lagi cabang lain yang saya boleh buat.

“Mungkin peminat lupa yang saya pun bermula dari band kenduri kahwin. Tujuan saya mendekati buskers adalah sebagai publisiti tambahan buat mereka.

“Sekurang-kurangnya dengan pengalaman saya selama 40 tahun dalam industri muzik, mereka akan dapat perhatian dan dapat juga merasa bermain dengan saya tanpa instrumen berskala besar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, muzik adalah sebahagian daripada kehidupannya dan dia sukar menolak daripada bermain muzik.

“Niat utama saya memang nak bantu buskers. Keduanya, saya memang minat nak bermain muzik walau di mana saja. Muzik tiada had dan kita yang diatas ini perlu turun ke bawah semula.

“Dalam masa sama, saya nak jumpa peminat dan mereka pun dapat jumpa saya. Saya memang tak ambil duit tapi lebih kepada menyumbang tenaga. Buskers akan dapat perhatian apabila bersama saya, manakala peminat pula dapat berjumpa saya. Ini cara asas yang jarang kita buat. Walaupun sudah berada di atas, saya tak boleh lupa yang di bawah. Ini (busking) ibarat cara saya ketika mula bermain muzik dulu,” katanya.

Man Kidal berkata, apabila berada di sesuatu lokasi, buskers sendiri yang menjemputnya untuk beraksi dan dia sukar menolak pelawaan mereka.

“Kadang-kadang di restoran pun ada buskers buat persembahan. Apabila nampak saya, mereka pasti akan pelawa turut serta. Saya pula memang suka dengar muzik dan sukar nak hampakan permintaan orang. Bagi saya, pendapatan buskers tidaklah besar berbanding membuat konsert, cuma sekarang perhatian terhadap mereka semakin bagus,” katanya.

Man Kidal berkata, berlaku salah faham dalam perkara ini kerana dia bukanlah terlalu kerap beraksi sebagai buskers.

“Cuma sekarang setiap orang rakam video dan muat naik di YouTube. Apabila peminat tengok, nampak seolah-olah saya beraksi di pelbagai tempat. Nampak seperti saya seolah-olah terdesak cari duit sedangkan jiwa saya memang dalam muzik. Saya tak kisah bab duit. Bagi saya rezeki itu ada di mana-mana,” katanya yang tetap akan bermain muzik walaupun di rumah.

Dalam perkembangan lain, Lefthanded akan mengadakan konsert di Singapura pada 7 Mac depan sempena 40 tahun penubuhan mereka.

Lebih istimewa, persembahan yang akan berlangsung di Capitol Theatre itu turut menampilkan Datuk Ramli Sarip sebagai penyanyi jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 7:24 PM