Kumpulan Gersang yang dianggotai (dari kiri) Acis (keyboard), Jojet (dram), Man Bai (penyanyi), Ajib (gitar), Man Greng (bass) dan Kid (gitar).
Kumpulan Gersang yang dianggotai (dari kiri) Acis (keyboard), Jojet (dram), Man Bai (penyanyi), Ajib (gitar), Man Greng (bass) dan Kid (gitar).
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Gersang, Man Bai menolak dakwaan mengatakan dia bermasam muka dengan pemain keyboard kumpulan itu, Datuk Acis.

Ia berikutan nama Acis tidak disenaraikan dalam persembahan Gersang untuk Konsert Rock Klasik yang akan berlangsung di Singapura pada 29 Disember depan.

Man Bai berkata, selain dirinya, Gersang akan menampilkan anggota asal mereka iaitu Jojet (dram) dan Man Greng (bass). Tempat pemain gitar, Kid akan digantikan Shahrul Ekamatra, manakala Acis akan digantikan Eddie Slam.

Selain itu, mereka turut disertai pemain gitar, Ajib yang juga anggota Gersang yang kini menetap di Johor.

"Kid ada komitmen bersama Search dan Acis pula sibuk dengan program TV dan pelbagai lagi. Kalau sekiranya Acis berminat untuk terbabit, kenapa tak hubungi saya bertanya khabar?

"Saya yang buat band ini dulu dan kemudian ambil dia. Saya sebenarnya suka mendidik orang dan menghargai ingatan orang terhadap jasa yang diberikan. Contohnya dari segi menghargai pengorbanan seseorang seperti siapa ambil dia bagi peluang dan hormat orang terbabit," katanya.

Man Bai menegaskan, dia tidak mahu bergaduh dengan sesiapa atau memburukkan band sendiri kepada mana-mana pihak.

"Saya tak suka benda-benda itu. Dah berumur buat apa nak gaduh-gaduh. Nak buat projek, jalan saja. Sebenarnya dalam industri muzik kita, ada masalah bukan Gersang saja tapi banyak lagi. Saya tak suka melihat industri muzik bergolak. Kita cari makan dengan cara elok dan 'enjoy the music'. Namun saya ingat dengan pesan ibu bapa yang ajar berbaik dengan orang dan hargai jasa orang.

"Memang saya nak ambil dia tapi saya nak dia tahu, cerminkan diri sendiri. Kadang-kadang manusia mudah lupa. Macam saya ingat asal-usul. Itu sebab saya baik dengan semua orang. Bukan minta dihormati," katanya.

Man Bai berkata, dari segi kerja dia tidak mempunyai masalah dengan Acis.

"Cuma kami dah lama tak berhubung. Tapi kalau terserempak saya okey saja tiada masalah. Namun, dari segi muzik kalau dia nak main untuk Gersang saya okey saja. Untuk kali ini sebab dah suntuk, posisinya digantikan orang lain. Saya kena cepat tak boleh tunggu," katanya.

Selain Gersang, konsert yang akan berlangsung di Singapore Expo ini turut menampilkan kumpulan The Majesty,

Rusty Blade dan Ella.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:52 PM