Syamsul Yusof (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim
Syamsul Yusof (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim mengadakan sesi sinergi industri bersama pengarah filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang menjurus kepada isu, cabaran dan penambahbaikan industri perfileman.

Finas dalam satu kenyataan berkata, perbincangan itu juga merangkumi aspek kawal selia ekosistem khususnya jenayah cetak rompak digital yang memberi impak negatif kepada kelestarian ekonomi, harta intelek dan produktiviti industri.

"Perbincangan dua hala ini juga memberi fokus kepada galakan dan sokongan Finas dalam aspek polisi, percukaian, dana, pelaburan, modal insan dan pemasaran.

"Finas juga menerangkan tindakan-tindakan proaktif yang sudah diambil Finas bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit oleh pihak penerbit seperti pengoperasian Jawatankuasa Cetak Rompak yang diketuai Finas dengan koordinasi strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.

Menurutnya, Finas juga mengadakan pertemuan bersama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan isu cukai hiburan, pembangunan industri filem dan sebagainya.

Dalam masa sama, Finas menegaskan pihaknya sentiasa bersifat terbuka untuk menerima cadangan daripada pemegang taruh industri bagi bersama-sama memacu kecemerlangan industri berpandukan Akta 244 Finas dan Dasar Perfileman Negara yang dalam fasa pindaan dan penambahbaikan.

Sementara itu, Syamsul dalam satu perkongsian di Instagram berterima kasih kepada Finas di atas inisiatif yang dilakukan.

"Terima kasih Finas kerana mendengar pandangan dan perkongsian saya. Sama-sama kita bangkit dan baik pulih industri ini. Maaf saya terlebih semangat sikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 5:04 PM