Waan Hafiz ketika mengarahkan filem Don Dukun
Waan Hafiz ketika mengarahkan filem Don Dukun
Syafil Syazwan Jefri


Kota Bharu: Pengarah filem Don Dukun, Waan Hafiz berkongsi mengenai cabaran yang dihadapinya saat mencari rumah yang sesuai untuk dijadikan set penggambaran filem itu.

Waan ketika ditemui berkata, pihak produksi meneroka 32 rumah sebelum menemui rumah agam yang sesuai, yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

"Pada awalnya, kami meneroka 32 rumah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Port Dickson. Namun, tak ada yang sesuai dengan kriteria yang kami mahukan iaitu sebuah rumah agam.

"Kebetulan, pemilik rumah agam di Kelantan ini menghantar gambar dan video kepada produksi dan berbekalkan kepercayaan antara satu sama lain, kami bersetuju untuk menjalankan penggambaran di rumah agam ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Waan, rumah ini memiliki ciri-ciri yang sesuai dengan filem komedi seram itu.

"Rumah agam ini ada sembilan bilik, enam ruang tamu, ada surau sendiri dan ada menara yang menjadi lokasi sesuai untuk melihat seluruh bandar Kota Bharu.

"Banyak babak yang memerlukan ruang luas dan itu juga menjadi satu sebab kenapa rumah ini dipilih.

"Di Kuala Lumpur, ada satu rumah yang sesuai dengan kehendak saya. Namun, harga sewanya sahaja sudah sama seperti kos untuk menerbitkan filem ini. Jadi, kami batalkan," katanya.

Filem Don Dukun membariskan barisan pelakon hebat antaranya Zul Ariffin, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Ropie, Datuk Yusof Haslam, Sharifah Aryana, Sharifah Husna, Serra Kamal dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 11:58 AM