Zul Ariffin
Zul Ariffin
Syafil Syazwan Jefri


Kota Bharu: Pelakon, Zul Ariffin mengakui gemuruh ketika menjalani penggambaran filem Don Dukun yang sedang berlangsung di Kelantan.

Zul ketika ditemui berkata, ini adalah satu-satunya karya yang membuatkannya rasa gemuruh memandangkan genrenya adalah komedi seram.

"Tak ada filem yang buat saya rasa gemuruh seperti filem ini. Setakat ini, Don Dukun adalah karya yang membuatkan saya gemuruh di set. Duduk seorang diri pun saya rasa 'nervous'.

"Sebelum ini, berapa banyak kamera pun di depan saya, dengan siapa pun saya berlakon, saya tak gemuruh sebab untuk lakonan, saya dah buat melatih diri bertahun-tahun," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, rasa ingin melakukan yang terbaik membuatkannya rasa gemuruh, namun, dia sendiri berjaya mencari solusi untuk mengawal gemuruhnya.

"Saya sendiri tertanya-tanya, apa yang membuatkan saya gemuruh. Mungkin ada sedikit tekanan sebab saya nak berikan yang terbaik dan pada masa sama, ada ketikanya kepenatan.

"Jadi, selalunya saya akan duduk sekejap, kumpul semula tenaga dan teruskan dengan penggambaran," katanya.

Dalam filem arahan pengarah Waan Hafiz itu, Zul memegang watak sebagai Don Arif dan filem ini turut membariskan barisan pelakon hebat antaranya Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Ropie, Datuk Yusof Haslam, Sharifah Aryana, Sharifah Husna, Serra Kamal dan ramai lagi.

Penggambaran filem ini dijalankan di Kuala Lumpur dan Kelantan dengan tempoh keseluruhan 22 hari.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 11:44 AM