ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
ANTARA babak yang dimuatkan dalam filem Puaka Balai Gombak berdasarkan pengalaman sebenar pelakon.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas berjaya dengan dua filem komedi iaitu Hantu Tok Mudim dan Mat Tudung yang meraih sambutan baik penonton di pawagam, kini Waan Hafiz muncul dengan karya baru.

Berbanding genre terdahulu, kali ini, Waan Hafiz atau nama sebenar, Waan Mohd Hafiz Wan Hussein muncul dengan karya berbaur seram, Puaka Balai Gombak di pawagam mulai 29 Januari lalu.

Diterbitkan Showbiz Productions Sdn Bhd, Waan Hafiz juga dengan berani mengambil risiko mempertaruhkan tiga pelakon baru yang diberi pendedahan mengenai aktiviti paranormal.

Barisan pelakon baru terpilih itu ialah Hazwan Asari sebagai Amar, Farhaziq Ab Manaf (Rizal) dan Shukri Tahir (Dani). Mereka disatukan menjadi pasukan paranormal dikenali sebagai Puaka X.

Waan Hafiz berkata, menghasilkan filem bergenre seram bukan perkara mudah. Apa lagi, aktiviti itu berkait rapat dengan kumpulan paranormal profesional.

“Ditambah, konsep filem seram yang cuba dihasilkan ini agak berbeza yang mana pelakon dipilih akan mengalami sendiri pengalaman seperti paranormal sebenar.

“Pun begitu, paling utama untuk penerbitan filem seram sudah tentu melihat pada pemilihan lokasi yang tepat. Jadi, mencari lokasi juga bukan perkara senang.

“Bagi memastikan impian menghasilkan filem Puaka Balai Gombak jadi kenyataan, saya terpaksa meninjau lebih 10 lokasi seram popular di negara ini sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Kata Waan Hafiz lagi, cabaran utama dihadapinya apabila kebanyakan tempat seram disebut-sebut itu kurang menarik untuk dijadikan lokasi penggambaran. Ditambahpula, ada lokasi yang pernah diguna pakai.

Sehubungan itu, Waan Hafiz berkata, hanya tiga lokasi akhirnya dipilih iaitu Apartmen Riviera II di Ampang, banglo tinggal di Shah Alam dan Balai Polis lama Gombak.

Berbicara mengenai cabaran menggunakan khidmat pelakon baru, Waan Hafiz berkata, dia bernasib baik kerana ketiga-tiga mereka memberi komitmen yang bagus.

Katanya, meskipun Hazwan, Farhaziq dan Shukri masih kurang pengalaman dalam lakonan, tetapi de-ngan tunjuk ajar dan pendedahan diberi, mereka berjaya menunjukkan kesungguhan.

Berkongsi cabaran lain pula, Waan Hafiz berkata, bukan senang mewujudkan elemen seram dalam filem.

Pun begitu, akuinya tak dinafikan kewujudan entiti atau makhluk halus memang ada dan ia dirasai pelakon serta kru produksi ketika menjalani penggambaran filem itu.

Sinopsis filem Puaka Balai Gombak

Ada orang mudah percaya dan ada juga yang memerlukan bukti untuk percaya. Itu yang sering dikaitkan dengan kisah mengenai kewujudan entiti.

Disebabkan inginkan bukti dan merasai sendiri pengalaman menjejak entiti, justeru, tiga pemuda berusia awal 20-an iaitu Amar, Rizal dan Dani atau dikenali sebagai pasukan Puaka X cuba menyahut cabaran.

Pun begitu, ketika pasukan paranormal lain begitu menjaga tata ertib mereka sekiranya menjejakkan kaki ke kawasan ‘keras’ yang dikatakan ada enttiti, Puaka X pula bersikap sambil lewa.

Menggunakan pendekatan berbeza, Puaka X gemar menimbulkan kontroversi apabila tidak menjaga tingkah laku termasuk percakapan mereka.

Mereka melakukan apa saja yang melanggar pantang larang dan kemudian membuat kenyataan di laman Facebook rasmi, Puaka X yang kini mempunyai lebih 20,000 ‘likes’.

Alam mistik yang subjektif sebenarnya sering mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat kerana masing-masing mempunyai perspektif berbeza.

Begitu juga dengan fahaman dalam kalangan ahli kumpulan penyiasat paranormal. Apapun, antara lokasi ‘keras’ yang menjadi kunjungan ialah Highland Towers, Villa Nabila dan Taman Rekreasi Mimaland.

Namun, lokasi ‘keras’ menjadi pilihan Amar, Rizal dan Dani untuk mereka kongsi dalam filem ialah Apartmen Riviera II, banglo tinggal di Shah Alam dan Balai Polis lama Gombak yang terpalit kisah tersendiri.

Bersandarkan tagline ‘Kasi redah’, kumpulan Puaka X menjalankan penggambaran mereka di lokasi sebenar dan menjadi kontroversi kerana menggunakan cara provokasi untuk mendapatkan reaksi daripada entiti yang didakwa wujud.

Sejauh mana kehebatan dan kenakalan Puaka X tatkala menerjah kawasan didakwa ‘keras’, semuanya dapat disaksikan dalam Puaka Balai Gombak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 8:46 AM