ELLY Arifin
ELLY Arifin
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Selepas lebih dua tahun bercerai, pelakon dan pengacara, Elly Arifin bakal bergandingan dengan bekas suaminya yang juga pelakon dan pelawak, Jiggy sebagai pengacara Muzikal Lawak Superstar 3 Live Plus.

Elly berkata, kerjasama ini adalah untuk membuktikan bahawa dia dan Jiggy boleh bekerjasama secara profesional dan tidak pernah berdepan sebarang isu walaupun sudah tidak bergelar suami isteri.

"Mungkin klise untuk saya katakan kami berdua bersikap profesional, namun, itulah hakikatnya. Kami tak ada sebarang isu pun.

"Apa yang boleh saya katakan, menerusi kerjasama ini, kami ingin membuka mata banyak pihak untuk tidak teragak-agak sekiranya ingin menawarkan kerja kepada kami tidak kiralah dalam apa-apa program termasuklah pengacaraan mahupun lakonan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Elly, dia dan Jiggy yang juga anggota kumpulan Masin kini dalam fasa bersahabat dan masing-masing selesa dengan posisi itu.

"Kami dalam fasa yang sangat selesa sebagai kawan. Bulan lepas pun, kami ada lepak bersama beberapa kawan yang lain.

"Untuk perasaan lebih daripada itu, saya serahkan semuanya kepada takdir dan kuasa Tuhan untuk tentukan. Dari sudut kerja, memang tak ada masalah," katanya.

Selain itu, Elly juga menerima tawaran sebagai pengacara Live Plus untuk program komedi itu kerana rindukan persekitaran dan tugas sebagai pengacara.

"Nak kata sebab bayaran, tidak juga kerana ia bersesuaian dengan apa yang saya tawarkan. Saya terima tawaran ini kerana saya rindukan suasana persekitaran bekerja dengan produksi ini kerana saya kenal mereka sudah lama.

"Lagi pula, lama juga saya tidak mengacara kerana lebih banyak menerima tawaran lakonan," katanya.

Terbaharu, Elly bakal muncul dalam drama berjudul Ai.5ya yang akan ditayangkan di platform Viu. Elly dan Jiggy berkahwin pada 9 September 2016 sebelum bercerai pada 31 Januari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 1:01 PM