JIGGY menyulam cinta dalam diam bersama atlet terjun negara hingga ke jenjang pelamin.
JIGGY menyulam cinta dalam diam bersama atlet terjun negara hingga ke jenjang pelamin.
JIGGY dan Dhabitah berkenalan rapat selama setahun.
JIGGY dan Dhabitah berkenalan rapat selama setahun.
Norhayati Nordin


SYAWAL kali ini nyata membawa sinar bahagia buat pelawak, pelakon dan pengacara, Jiggy.

Siapa sangka dalam diam, Jiggy atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri, 33, sebelum ini hangat menyulam cinta dengan atlet penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri atau Dhabitah, 23, yang sudah pun menjadi isterinya.

Hanya berkenalan rapat dalam tempoh setahun, Jiggy yang juga anggota kumpulan Masin berjaya menambat hati Dhabitah dengan cinta tulusnya. Namun, Jiggy mengakui dia mulanya ada berasa bimbang jika hasrat hati ditolak.

"Terus-terang, banyak yang saya fikirkan sebelum ingin melamar Dhabitah. Debarannya sangat lain macam. Terutama dalam kes Dhabitah ini, kenyataan daripadanya sangat membuat hati saya cukup berdebar.

"Dia (Dhabitah) pernah cakap, saya kalau dah ready (sedia), saya kahwin saja. Kalau orang itu boleh jaga saya betul-betul, boleh terima saya punya kekurangan, saya okay saja', jadi itu menunjukkan dia (Dhabitah) orangnya serius dan tidak main-main," katanya.

Menurut Jiggy, dia juga bersyukur apabila ibu bapa dan keluarga isterinya itu menerima baik dirinya walaupun mereka tahu status duda yang digalas. Kata pengacara program Muzikal Lawak Superstar (MLS) ini, dia sedar diri.

"Saya pernah gagal dalam perkahwinan lalu. Jadi, sedikit sebanyak dalam hati saya ada rasa risau bagaimana tanggapan ibu bapa Dhabitah ketika itu. Maklumlah, sesetengah pihak mungkin akan berfikir, dia ini duda, anak kami pula belum pernah berkahwin.

"Tapi, apa yang saya fikirkan itu meleset kerana keluarga Dhabitah tidak melihat begitu. Ia bukan titik ukur bagi keluarganya. Asalkan awak tahu tanggungjawab, tahu bagaimana menjaga anak perempuan mereka, okaylah," katanya.

JIGGY dan Dhabitah saling menyokong karier masing-masing.
JIGGY dan Dhabitah saling menyokong karier masing-masing.

Jiggy bagaimanapun memaklumkan dia perlu menghormati permintaan keluarga yang meminta agar hubungan mereka tidak dihebohkan kepada media dan umum lebih awal sebelum sah bergelar suami dan isteri.

"Saya dalam dilema juga apabila terpaksa merahsiakan seketika hubungan kami sebelum bernikah. Ramai rakan media yang saya kenal dan rapat bertanya, tapi mohon maaf saya perlu mengunci mulut ketika itu sehingga tarikh 28 April lalu.

"Sejujurnya, tidak mudah untuk saya berdiam diri itu. Tapi, permintaan ibu bapa dan keluarga adalah keutamaan kami berdua. Alhamdulillah, berkat kesabaran kami akhirnya segala yang dirancang berjalan lancar.

"Kami selamat bernikah dalam sebuah majlis sederhana yang meriah dan tertutup pada Jumaat lalu di rumah keluarga Dhabitah. Kira-kira 150 tetamu daripada kalangan keluarga yang dijemput kerana kami buat acara wajib dulu iaitu bernikah," katanya.

Sehubungan itu, dengan sekali lafaz akad nikah, Jiggy dan Dhabitah sah bergelar suami isteri.

Malah, jumlah wang hantaran dan mas kahwin diberikan Jiggy kepada isterinya juga dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Tidak menghalang isterinya itu meneruskan karier sukan, Jiggy berkata, dia dan Dhabitah sudah berbincang dengan teliti perancangan masa depan mereka. Katanya, sekarang adalah masa mereka fokus pada karier masing-masing dahulu.

JIGGY dan isteri, Dhabitah selamat bernikah pada 28 April lalu.
JIGGY dan isteri, Dhabitah selamat bernikah pada 28 April lalu.

Jaga Hati Dhabitah

Masih berhubungan baik dengan bekas isterinya juga pelakon dan pengacara, Elly Ariffin, pelakon sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) di TV3 ini berkata, mereka profesional kerana terbabit dalam karier seni.

"Walaupun sudah bercerai, saya dan Elly tetap berkawan secara profesional sebagai rakan artis. Apatah lagi, selain bekerjasama sebagai pengacara MLS di Astro, kami bergandingan untuk beberapa projek lain juga.

"Alhamdulillah, Dhabitah pun tahu mengenainya dan setakat ini dia memahami urusan kerja saya. Apapun, sebagai suaminya (Dhabitah) saya akan menjaga batas pergaulan untuk menjaga hati isteri dan keluarga.

"Saya gembira dan bersyukur Dhabitah boleh menerima dengan baik. Walaupun saya tahu sebagai wanita dan isteri, dia ada rasa cemburu, tapi saya akan sentiasa berusaha menjaga perasaannya," katanya.

Jiggy berkata, dia juga berharap Elly akan bertemu jodoh baharu segera dan mengecap bahagia. Ujarnya, dia tumpang gembira melihat bekas isterinya itu semakin berjaya mengembangkan bakat seni dan menempa nama sebagai selebriti dikenali.

Terdahulu, Jiggy bertemu jodoh dengan Elly pada 9 September 2016. Namun, ikatan perkahwinan mereka tidak panjang dan berpisah secara baik pada 30 Januari 2020. Bagaimanapun, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 6:20 AM