SENTIASA bersedia untuk apa juga kemungkinan.
SENTIASA bersedia untuk apa juga kemungkinan.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Elly Arifin mula bertapak dalam industri seni tanah air sebagai pengacara dan penyampai radio, namun perlahan-lahan dia mula meneroka pelbagai sudut seni dan mula terjun dalam bidang lakonan.

Antara drama bersiri Semusim Rindu dan 28 Hari Mencari Cinta yang mana melonjakkan namanya, sekali gus membuka mata banyak pihak untuk melihat sendiri kemampuan lakonannya.

Berkesempatan menemu bual wanita berusia 33 tahun ini, dia berkongsi mengenai perjalanan karier seninya yang bertunjangkan minat dan impian.

"Kalau kita bercerita mengenai kekuatan saya, saya akui ia lebih menjurus ke dunia pengacaraan. Namun, apabila menyentuh mengenai minat, boleh saya katakan ia lebih terarah kepada lakonan.

"Saya suka berlakon sejak sekian lama, cuma rezeki saya lebih banyak datang daripada dunia pengacaraan memandangkan saya juga jenis orang yang suka bercakap," katanya.

Berkongsi mengenai minat dan keghairahannya dalam meneroka dunia lakonan, Elly atau nama sebenarnya Nurul Elyana Kamalul Arifin bercerita mengenai pengalaman berbeza setiap kali membawakan watak berbeza.

"Bila saya dah betul-betul serius dalam lakonan, saya mula rasa seronok. Setiap kali membawakan watak berbeza, ia umpama pengalaman baharu buat saya kerana saya membawakan watak berbeza berbanding diri saya yang sebenarnya.

ELLY kini semakin selesa sebagai pelakon.
ELLY kini semakin selesa sebagai pelakon.

"Kalau dibandingkan dengan kerjaya sebagai pengacara, saya menjadi diri sendiri. Tetapi, untuk lakonan, ia sangat berbeza kerana saya perlu 'berubah' menjadi watak yang digalas.

"Ia memerlukan permainan emosi dan sebagainya kerana setiap watak yang dibawakan tidak sama dengan watak lain. Ada perwatakan dan jalan ceritanya yang tersendiri dalam setiap watak," katanya.

Menurutnya, itu menjadi cabaran yang disahut olehnya dalam mengembangkan lagi skil lakonannya.

"Banyak cabaran dalam lakonan antaranya saya belajar bagaimana untuk menjaga 'mood' sesuatu perwatakan. Contohnya, satu 'shot' memerlukan saya bermain dengan emosi sedih dan mengalirkan air mata dan kemudian 'shot' seterusnya adalah beberapa jam kemudian.

"Jadi, saya perlu tahu bagaimana untuk memastikan momentum dari 'shot' terdahulu itu masih ada untuk diteruskan dalam 'shot' seterusnya. Saya sangat suka mencabar diri saya dan ingin terus belajar," katanya.

Sedikit sebanyak, cabang kerjaya ini juga membuatkannya lebih menghargai dan tahu erti bersyukur.

"Dunia lakonan ini, bagi saya umpama kita menggali tanah mencari emas. Peluang itu tidak selalu datang dan apabila ia datang, saya tak suka main-main. Kalau nak bercakap mengenai masa untuk menyinar atau apa, saya serahkan semuanya kepada Allah sebab itu bergantung kepada rezeki dan takdir juga.

"Kerjaya sebagai pelakon ini, ada kalanya datang berturut-turut dan ada kalanya, tidak ada tawaran kerja. Jadi, saya belajar banyak benda baharu menerusi kerjaya ini dan sentiasa bersedia untuk apa juga kemungkinan," katanya.

Terbaharu, Elly bakal muncul dalam drama berjudul Ai.5ya yang akan ditayangkan di platform Viu yang turut membariskan beberapa pelakon lain antaranya Zizan Razak, Mia Sara Shauki, Datuk Afdlin Shauki dan Ozlynn Waty.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 6:30 AM