SEMANGAT Timah untuk terus berkarya tidak pernah pudar.
SEMANGAT Timah untuk terus berkarya tidak pernah pudar.
Affan Rostam


PENYANYI paling muda naungan Rocketfuel Entertainment, Timah tampil dengan single terbaharu berjudul Eleh He Eleh yang mana mempunyai keunikan tersendiri dari segi lirik serta penyampaiannya.

Timah atau nama sebenarnya, Fatimah Noryyah Mohd Noor Kosygin boleh dikatakan bertuah apabila berpeluang menyanyikan lagu yang digarap oleh barisan penulis lirik dan komposer ternama seperti Faizal Tahir, Glowrush, Acap Salim, Nick Ariff serta Shah Shamsiri.

Timah berkata, semangatnya untuk terus berkarya tidak pernah pudar biarpun single pertamanya berjudul Ceria yang dilancarkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Malah, dia mengambil perkara itu sebagai satu bentuk pelajaran yang akan digunakan untuk terus melebarkan sayap dalam bidang nyanyian.

"Macam mimpi rasanya apabila kini saya kembali dengan single kedua. Walaupun single sebelum ini tidak 'seceria' yang diharapkan kerana dikeluarkan ketika negara masih lagi dalam tempoh PKP.

"Bayangkanlah ketika itu semuanya dilakukan secara dalam talian bermula dengan perbincangan, proses rakaman sehinggalah sesi temubual, semuanya dalam talian.

"Namun perkara itu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk terus menghasilkan single yang seterusnya dan Eleh He Eleh adalah hasil daripada semangat juang saya yang sukakan bidang ini," kata penyanyi berusia 14 tahun itu.

Seperti selebriti muda yang lain, persoalan berkenaan pembahagian masa dalam pelajaran pasti akan dibangkitkan, maka Timah menegaskan dia tetap akan cuba mengatur masa sebaik mungkin agar kedua-duanya dapat diseimbangkan.

Tambahnya, pihak Rocketfuel Entertainment juga memainkan peranan mereka dalam memastikan agar pemilihan lagu bersesuaian dengan dirinya ketika ini.

ELEH He Eleh mempunyai kelainan serta keunikan tersendiri.
ELEH He Eleh mempunyai kelainan serta keunikan tersendiri.

"Sebagai artis muda, saya sedar betapa pentingnya pelajaran, jadi saya perlu seimbangkan di antara keduanya.

"Pihak Rocketfuel juga sangat berhati-hati dalam pemilihan lagu kerana di usia yang muda takkanlah saya hendak menyanyikan lagu tentang percintaan saja, macam tidak 'kena'. Jadi, pihak penerbit yang mencadangkan lagu ini kerana melodi dan liriknya sesuai dengan umur saya," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan single terbaharunya, Timah menjelaskan Eleh He Eleh bermaksud ekspresi pelbagai emosi yang sering dituturkan dalam kehidupan seharian oleh semua tidak mengira peringkat umur.

"Dalam lagu ini, maksudnya berbeza sedikit, ia menceritakan tentang seorang gadis yang malu dengan 'crush' dan tertunggu-tunggu sama ada hendak disapanya atau tidak, ibarat cinta monyet di antara rakan sekolah," jelasnya.

Timah berjanji akan terus memperbaiki segala kekurangannya supaya dapat berdiri setanding dengan penyanyi lain biarpun mengakui masih lagi tercari-cari identiti sebenarnya dalam bidang nyanyian.

"Saya masih lagi tercari-cari identiti sebenar sebagai penyanyi, usia saya masih lagi 14 tahun dan bermacam-macam genre ingin dicuba.

"Namun begitu saya perlu terus berusaha demi memantapkan diri sebagai seorang artis, salah satunya adalah dengan menghadiri kelas vokal dengan guru profesional sebagai persediaan masa hadapan," katanya.

Ketika ini, karier Timah dalam industri seni nampaknya berada di landasan tepat apabila dia turut sibuk dengan pelbagai jadual seni lain antaranya terbabit dalam program kebajikan yang disiarkan dalam salah sebuah stesen televisyen tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 6:17 AM