QUE lakon watak Hatta dalam Lebai Sampan.
QUE lakon watak Hatta dalam Lebai Sampan.
Norhayati Nordin


Nama Que Haidar sudah berada pada tahap tersendiri di persada industri seni tanah air. Bakatnya sebagai pelakon berkaliber dan dikagumi sudah lama dibuktikan.

Namun, Que, 43, kini tidak selalu muncul di kaca televisyen membintangi drama. Kalau ada pun, dia tampil dengan telefilem istimewa seperti tayangan Aidiladha di Astro Citra baru-baru ini iaitu Lebai Sampan.

Melakonkan watak Hatta dalam telefilem itu, Que berkata, skrip dihasilkan cukup kena dengan jiwanya yang memaparkan kisah masyarakat dalam kalangan marhaen.

Lebih menarik, Lebai Sampan diilhamkan daripada kisah benar.

"Satu tanggungjawab besar kepada saya ketika terbabit dengan projek telefilem Lebai Sampan ini. Ditambah lagi, watak Hatta itu wujud dan individu berkenaan hadir sendiri ke lokasi penggambaran menyaksikan lakonan saya sebagai dirinya.

"Alhamdillah, dia orangnya sangat baik dan ramah. Malah, dia amat membantu saya membawakan watak Hatta itu sebaik mungkin walaupun ada juga rasa bimbang apabila lakonan diperhatikan.

"Sebagai pelakon tidak mudah sebenarnya melakonkan watak individu yang masih hidup. Banyak yang kita perlu tahu dan kena betul-betul memahami watak itu. Saya pula seorang yang komited pada setiap watak dibawakan," katanya.

Que yang juga bapa kepada dua anak perempuan berkata, berlakon adalah minat utamanya. Jadi, sukar untuk dia membuat kerja mudah dan selalu memastikan hasil kerja terbaik.

ANTARA babak Que bersama Jalil dalam telefilem Lebai Sampan.
ANTARA babak Que bersama Jalil dalam telefilem Lebai Sampan.

Katanya, apabila kita melakukan kerja yang disukai mesti fokus dan tak main-main.

"Saya pula sentiasa percaya dan berpegang dengan prinsip keikhlasan bekerja. Dalam soal ini, apabila kita ikhlas bekerja pasti hasilnya terbaik. Itu yang saya inginkan dan kena buat semampu yang boleh.

"Malah, saya juga suka berbincang dengan pengarah dan pelakon lain untuk kami sama-sama memastikan urusan kerja berjalan lancar. Lagipun, memang cara saya suka berbincang untuk bertukar idea dan pandangan," katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya menerima tawaran berlakon drama yang mempunyai puluhan atau ratusan episod, Que berkata, barangkali ia tidak sesuai lagi dengannya.

Katanya, berlakon telefilem yang tujuh hari penggambaran pun, dia sudah amat bekerja keras.

"Saya suka 'mengerjakan diri sendiri' di lokasi ketika melakonkan sesuatu watak. Jadi, saya tak boleh bayangkan apa akan jadi pada diri sendiri kalau membintangi drama yang ada banyak episod itu. Pada usia saya sekarang, rasanya tidak mampu lagi.

"Cukup saya hanya muncul dalam karya telefilem sekarang. Lebih mudah dengan skrip yang sesuai. Ditambah lagi, saya mengutamakan karya yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Saya amat sukakan cerita 'hidup' sebegini," katanya.

BERGANDINGAN dengan Beto.
BERGANDINGAN dengan Beto.

Dalam Lebai Sampan, Que turut berganding dengan pelakon berpengalaman lain seperti Jalil Hamid, Beto Kusyairy, Ruminah Sidek dan Puteri Balqis Azizi.

Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar berkata, selain berlakon, dia juga ada perniagaan diusahakan bersama isterinya yang juga koreografer terkenal, Linda Jasmine.

Selain itu, dia juga terbabit dengan bengkel lakonan.

Que mendirikan rumah tangga dengan Linda pada 14 Februari 2010. Mereka mempunyai dua anak perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 13, dan Tengku Cleopatra Haidar, 10. Que juga mempunyai seorang anak tiri lelaki, Qalif Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:20 AM