QUE
QUE
Ridzuan Abdul Rahman


Teguran Que Haidar berkenaan ‘pelakon kayu’ baru-baru ini mungkin dianggap keras sehingga mencetuskan perasaan kurang senang segelintir pihak termasuk pengarah terkenal, Aziz M Osman yang membidasnya semula.

Hakikatnya, Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 38, berbuat demikian sebagai tanda sayangkan industri lakonan tanah air.

Kenyataan itu pun dibuat kerana perasaan kecewa apabila tiada seorang pun pelakon baru yang menghadiri bengkel lakonan anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ditemui baru-baru ini, Que memberi contoh dirinya sendiri yang mengambil inisiatif belajar untuk memantapkan lagi ilmu lakonannya sehingga berada pada tahap sekarang.

“Kalau tiada perasaan itu, tidaklah saya masuk Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dalam jurusan teater. Sebelum masuk industri seni pun, saya asal dari teater dan kemudian belajar. Itulah bukti seriusnya saya dalam kerja.

“Sebagai abang yang ‘senior’, selain tanggunggjawab saya juga fikir sumbangan saya dengan berikan teguran dalam industri tapi bukanlah saya berniat nak kondem atau jatuhkan sesiapa,” katanya.

Menurutnya, stesen TV menggunakan artis kategori ini untuk populariti, tetapi apa inisiatif yang artis terbabit lakukan untuk memajukan diri sendiri?

“Saya selalu tanya diri saya, apa sumbangan dalam industri? Kalau tak banyak, sedikit pun tak mengapa, janji ada. Selain mengajar kepada mereka yang berminat, apa lagi sumbangan saya dalam industri?

“Jadi, saya anggap teguran itu sebagai sumbangan. Namun jika ada pihak anggap itu lain, saya tak boleh cakap apa,” katanya.

Mengulas mengenai respons Aziz, Que mengakui agak terkejut tetapi menegaskan tidak mempunyai masalah dengan pengarah itu.

“Saya pernah berlakon bawah arahan Abang Long (Aziz) dalam filem Senario Pemburu Emas Yamashita dan pelakon jemputan siri Puteri dulu.

“Hubungan kami sangat okey. Dia kata saya pun sama kayu dengan mereka tapi nak ingatkan bezanya dengan mereka, saya ada usaha nak baiki diri sebelum masuk industri dengan mempersiapkan diri selengkapnya,” katanya.

Kalau tak kasar, tak jadi

Sebaik menceburi bidang lakonan, Que masih belajar sehinggakan sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk belajar daripada mereka yang profesional.

“Itulah usaha yang saya maksudkan. Saya tak nak pelakon sekarang hanya dibuai populariti. Niat saya baik tapi disalah erti.

“Mungkin siapa yang kenal saya tahu apa yang saya cakap dan kenapa cakap begitu,” katanya.

Ada juga yang mempertikaikan teguran kasar dibuat Que di Facebook itu dan baginya ia perlu dibuat sebegitu rupa.

“Ada yang kata ayat saya agak kasar. Kalau saya tak letak perkataan itu, benda ini tak didengari dan tak jadi tular.

“Ia dibuat dengan bersebab. Jangan ambil perkatan itu saja tapi cuba selami apa yang cuba disampaikan didalamnya,” katanya.

Que berkata, setiap penggiat seni perlu ada ilmu dan jika tiada, ia perlu dicari sendiri.

“Janganlah apabila berada di set penggambaran baru nak belajar. Di situ orang tiada masa nak belajar dan mengajar. Apa yang dibuat di situ perlu jadi.

Tak kata Fattah Amin teruk

“Ada juga yang cuba mengaitkan komen saya dengan Fattah Amin. Itu dianggap seperti melaga-lagakan sedangkan saya cakap secara umum. Macam kelakar pun ada,” katanya.

Menurutnya, tindakan begitu kurang bijak kerana pihak berkenaan tidak menghubunginya dan hanya mengambil kenyataan Fattah.

“Dia ada bakat tapi ilmunya masih kurang. Saya tak kata dia teruk, cuma sebagai abang, saya memberikan nasihat dan kalau dia nak perbaiki diri apa salahnya?

“Dengan apa yang berlaku, ada ketikanya saya terasa malas nak tegur berkenaan industri tapi semangat dan sayang pada industri dan lakonan sangat besar. Apabila orang tak ambil serius pada lakonan, saya terasa sangat,” katanya.

Que berkata, mereka yang serius dengan apa yang dilakukan, sangat bekerja keras untuk kerjaya dan sanggup melakukan apa sahaja.

“Kalau tak boleh hormat kami yang senior, hormatlah kerjaya yang sedang diceburi. Mereka kena tahu apa kerja mereka.

“Ia bukan hanya datang set ‘on time’ dan hafal skrip kerana itu semua benda asas. Ada banyak lagi benda yang mereka perlu lakukan apabila berada dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 2:06 PM