Que dan isterinya, Linda Jasmine. Foto dari Instagram
Que dan isterinya, Linda Jasmine. Foto dari Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Que Haidar, 43, mengakui dia lebih selesa melakonkan watak-watak yang dekat dengan kehidupan manusia serta masyarakat berbanding menjadi 'hero' dalam karya aksi, seram dan percintaan.

Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar berkata, baginya setiap pelakon pasti ada 'goal' atau impian yang ingin dicapai mereka dalam kerjaya seni diceburi masing-masing.

"Ada pelakon yang suka watak aksi, begitu juga mereka yang gemarkan karakter 'superhero'. Ada juga yang suka lakonkan watak jahat dan hero cinta, tapi semuanya itu tiada apa yang salah.

"Cuma, untuk saya pula memang lebih suka melakonkan watak-watak yang dekat dengan kehidupan manusia dan masyarakat. Itu yang saya utamakan kerana dalam diri seorang manusia mesti ada sisi baik dan buruknya. Jadi, saya suka watak yang tunjukkan kedua-dua sisi ini," katanya kepada Harian Metro.

Ditemui pada sesi temubual secara virtual baru-baru ini, Que berkata, bagaimanapun dia akur tidak ramai pembikin karya tempatan yang menghasilkan naskhah mengangkat kisah kehidupan manusia berbanding cerita seram, aksi dan percintaan buat tatapan penonton.

"Memandangkan tidak banyak karya untuk watak 'lebih manusia' ini dihasilkan, maka peluang saya nak muncul berlakon itu agak terhad dan kurang. Ini kerana, dengan tawaran sedikit yang ada saya selalu terlepas kerana tidak dipilih.

"Apapun, saya okey saja kerana yakin dan percaya pada rezeki Allah. Ditambah lagi, pada saya kerja-kerja lakonan ini sebenarnya tidak mudah kerana ada pelbagai watak yang dilakonkan," katanya mengakui sentiasa gugup dan gementar di lokasi.

Que berkata, berdepan perasaan gugup dan gementar di set penggambaran adalah masalah biasa yang dihadapinya kerana memikirkan sejauh mana dia mampu melakonkan wataknya dengan baik dalam naskhah itu.

"Lebih gugup dan gementar lagi, apabila saya tahu rakan pelakon yang bergandingan dengan saya itu adalah seseorang yang hasil kerjanya amat bagus. Saya jadi bimbang, tak mampu berikan yang terbaik.

"Bukan sebab nak bersaing dengannya atau apa, tapi saya yang mahu buat terbaik agar kami dapat melaksanakan tanggungjawab watak digalas lebih berkesan. Biar sama-sama 'happy' dengan hasil kerja itu," katanya.

Boleh dikatakan hanya muncul dengan satu karya dalam setahun di kaca televisyen, Que berkata dia okey saja kerana apa yang pasti naskhah dibawakannya itu kena dengan jiwanya dan genre yang diinginkan.

Terdahulu, Que mendirikan rumah tangga dengan koreografer terkenal, Linda Jasmine pada 2010, dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 13, dan Tengku Cleopatra Haidar, 10. Selain itu, dia juga mempunyai seorang anak tiri lelaki, Qalif Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 3:42 PM