QUE akui dia kini sangat memilih watak untuk dilakonkan.
QUE akui dia kini sangat memilih watak untuk dilakonkan.
Oleh Norhayati Nordin


Lebih sedekad bergelar anak seni cukup mematangkan Que Haidar, 36, dalam membuat keputusan apa yang diinginkan untuk terus mempertahankan bakat dan namanya di persada industri hiburan tempatan.

Tanpa berselindung, Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata, kini dia bersikap cerewet memilih watak ditawarkan kepadanya dan hanya sedia mempertimbangkan karakter menarik dan sesuai saja.

Anak jati Johor ini berkata, wajar untuk dia bersikap memilih watak kerana enggan terus terikat dengan tuntutan karakter pernah dilakonkan dalam karya yang pernah dibintangi sebelum ini.

“Dari dulu saya buat keputusan menceburi industri hiburan kerana memang cita-cita mahu menjadi pelakon. Saya berusaha keras menampilkan lakonan terbaik untuk memastikan pengarah dan penonton puas dengan hasil dipersembahankan.

“Kemudian saya simpan pula impian untuk memastikan bakat lakonan itu mendapat pengiktirafan terbaik dan popular. Syukur alhamdulillah, sekarang pun saya sudah memperolehnya dan apa yang dihajatkan menjadi kenyataan.

“Kini saya masih fikirkan apa pula yang mahu dikecapi lagi. Jadi, apa yang saya ingin cuma peluang melakonkan watak yang membuatkan diri gembira. Oleh itu, saya bersikap memilih mengikut kehendak sendiri,” katanya.

Tidak peduli dengan apa saja tanggapan orang terhadap dirinya, Que berkata dia seorang yang tetap pendirian. Dari dulu sampai sekarang, dia tidak pernah kisah dengan tanggapan orang terhadapnya.

“Bagi saya, lantak dan biarlah apa orang hendak cakap. Asalkan yang penting saya tahu apa yang dilakukan. Saya juga tidak pernah ambil peduli dengan segala kritikan yang dilemparkan kepada saya.

“Sama ada ia kritikan positif atau negatif buat saya, itu hak masing-masing. Saya tak pernah ambil peduli pun dan selesa membiarkan saja semuanya. Jadi, itulah yang membuatkan saya bertahan hingga kini,” katanya.

Mengakui bakal membintangi sekuel filem Ophilia arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaluddin, suami koreografer terkenal Linda Jasmine ini berkata, dia juga tidak kisah kalau penonton hanya menyaksikan satu karya lakonannya dalam tempoh tiga tahun.

Kata pelakon telefilem Malaikat Yang Tersembunyi dan Cahaya Malaika ini, dia juga tidak kisah hanya sekali sekala lakonannya dapat ditonton masyarakat asalkan watak dibintangi itu berjaya meninggalkan kesan.

“Macam watak Ezra dalam telefilem Cahaya Malaika, saya sanggup botak kepala bagi memenuhi tuntutan karakter itu seperti diinginkan kerana saya yang meminta penulis skrip olahkan watak sebagai pesakit barah.

“Saya sukakan karakter yang mencabar seperti penghidap barah kerana ia dekat dengan diri saya. Tak dinafikan, ramai juga ahli keluarga saya yang menghidap barah dan mereka tabah mengharungi dugaan itu,” katanya.

Mengenai kemungkinan untuk duduk di kerusi pengarah berbekalkan pengalamannya itu, bapa kepada dua cahaya mata, Tengku Ratu Haidar, 6, dan Tengku Cleopatra, 3, dan anak tiri, Qalif Khan, 15, mengakui belum layak memikul tanggungjawab sebagai sutradara.

Akuinya, dia belum cukup bersedia untuk mengarahkan karya sendiri dan berkongsi dengan masyarakat kerana bimbang hasil tidak seperti diharapkan. Ujarnya, dia bimbang hasil karyanya tidak bagus.

“Bukan mudah untuk bergelar pengarah terbaik. Bahkan, saya sendiri melihat tanggungjawab pengarah sangat besar dan bukan senang untuk merealisasikan karya seni yang berkesan untuk masyarakat.

“Apapun, sebagai pelakon saya sedia sekadar berkongsi idea bersama pengarah untuk mengembangkan jalan cerita sesuatu karya seni menjadi lebih baik. Bagi saya, perbincangan sangat penting.

“Selain itu, saya juga akan pastikan gandingan pelakon yang akan beraksi bersama. Ini juga penting supaya di antara gandingan pelakon itu tidak kira lama atau baru mampu mewujudkan keserasian,” katanya.

Que juga tidak melatah tatkala nama isterinya turut dikaitkan mengongkongnya daripada aktif berlakon. Tegasnya, Linda sedikit pun tiada kaitan dengan tindakannya yang bersikap memilih.

“Isteri saya, orang yang sangat menyokong karier lakonan saya. Jadi, saya tidak tahu bagaimana timbul dakwaan mengatakan Linda mengongkong saya sedang­kan hakikat sebenarnya tidak pun begitu.

“Ingin saya tegaskan juga, apa saja keputusan saya memilih watak tiada kaitan dengan Linda. Isteri saya sangat memahami dan dia sentiasa berada di belakang saya memberikan sokongannya,” katanya.

Bahagia dengan kehidupan rumah tangga yang dibina, Que serta Linda kini bergandingan menjadi tenaga pengajar dalam fakulti Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) sebagai guru pementasan dan guru tarian/koreografi. Ini kali kedua mereka berganding selepas AF8.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:02 AM