ANTARA sedutan elefilem Pencipta Pegang Waktu.
ANTARA sedutan elefilem Pencipta Pegang Waktu.
Sudirman Mohd Tahir

Watak lelaki lembut, Zee lakonan pelakon hebat, Que Haidar dalam telefilem Pencipta Pegang Waktu yang ditayangkan di TV3 sempena Hari Raya Aidiladha, kelmarin, menjadi perhatian warganet.

Dalam pada watak itu mendapat pujian ramai, tidak kurang juga yang menjadikan lakonan dan penampilan Que itu sebagai bahan bualan mereka. Dalam erti kata lain 'membawang' di laman sosial.

Buktinya apabila seniwati Fauziah Ahmad Daud atau Ogy yang turut membintangi telefilem itu memuat naik tangkap layar komen pengguna laman sosial di YouTube.

"Bila lelaki membawang! Tahap apakah ini mentaliti tu? Itukan watak dia dalam telefilem ini. Memang tak boleh hadam mentaliti manusia macam ni la.

"Mesej #penciptapegangwaktu jangan nilai orang. Mereka tengok di YouTube tapi masih tak faham mesej cerita ni. Mari sini 'Sasa Binasa' nak kuliahkan yang mengata Zee Gems," tulisnya di Facebook.

Berdasarkan komen yang ditulis, mereka 'membawang' mengenai penampilan Que.

ANTARA komen daripada warganet di laman sosial YouTube.
ANTARA komen daripada warganet di laman sosial YouTube.

"Pasal apa Que Haidar muka dah macam Mak Nyah veteran pula sekarang ni, jahanam," tulis akaun itu.

Ia seterusnya dibalas oleh beberapa komen lain yang turut bercakap perkara sama.

"Tu la rasanya dia dah macam ni sekarang bukan macam dulu yang macho," tulis pengguna akaun Md Tarmizi.

Bagaimanapun, komen itu dinafikan pengguna akaun lain yang menyifatkan lakonan Que menjadi.

"Dah dia bawa watak lembut, memang la macam Mak Nyah," tulis pengguna akaun Zul Khairi.

Pengguna akaun Adi DJ juga beranggapan lakonan Que berjaya.

"Itu bererti lakonan beliau menjadi. Itu kan kesan mekap saja dan memang peran beliau watak lembut. Syabas Que Haidar," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 3:09 PM