Rody Kristal. Foto dari Instagram Rody
Rody Kristal. Foto dari Instagram Rody
Norhayati Nordin


Puchong: Pemain gitar utama kumpulan Kristal, Rody, 36, menegaskan dia tidak akan selamanya tampil dengan imej rambut pendek sebagaimana sekarang kerana lagi selesa berambut panjang.

Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin ditemui berkata dia terpaksa menjalani rawatan menanam rambut pada awal Februari lalu disebabkan masalah rambut rosak teruk yang dialaminya.

"Saya tampil dengan rambut pendek sekarang kerana mengalami masalah rambut rosak yang memerlukan saya menjalani proses menanam semula rambut yang memakan belanja RM6,000.

"Rawatan tanam semula rambut ini terpaksa saya buat sebagai langkah terakhir untuk mengatasi masalah rambut rosak teruk dialami selama ini. Lagi pula, saya tak boleh terus biarkan rambut ini rosak tanpa membuat rawatan," katanya.

Rody berkata jiwa pemuzik rock yang sebati dalam dirinya tidak memungkinkan dia kekal dengan imej rambut pendek itu.

Katanya, dia rindu dengan rambut lamanya dan nekad akan membiarkan ia panjang semula seperti dulu.

"Saya memang lebih selesa lagi dengan imej rambut panjang. Apabila, tampil dengan rambut pendek begini, saya dah tak seperti imej anggota Kristal yang lain dengan rambut panjang mereka. Rasa macam ada tak kenalah dan kurang.

"Jadi, saya akan biarkan rambut ini panjang semula dan takkan sesekali memotongnya lagi," kata bapa dua anak ini meskipun dia kelihatan agak muda dengan imej rambut pendek itu.

Terdahulu, Rody ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Kristal, Cukup Aku Saja dan muzik videonya baru-baru ini. Ia adalah single ketiga Kristal bersama vokalis baharunya, Ewal Ismail.

Lagu Cukup Aku Saja yang lebih 'catchy' liriknya itu turut dipilih sebagai lagu tema (OST) untuk drama Air Mata Allisya di TV9. Hingga kini, muzik video lagu ini di YouTube sudah mencatat 93,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 9:51 PM