Dari kiri, Achap, Lan, Kechik dan Rody. FOTO Arkib NSTP.
Dari kiri, Achap, Lan, Kechik dan Rody. FOTO Arkib NSTP.
Syafil Syazwan Jefri


VOKALIS Kristal, Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, enggan mengulas dirinya ‘direhatkan’ daripada posisi penyanyi band itu.

Katanya, buat masa sekarang dia sibuk dengan aktiviti untuk Gegar Vaganza musim 4 (GV4) dan minta diberi ruang untuk fokus kepada persembahan.

“Insya Allah selepas konsert GV4 Ahad ini, saya akan jawab semua persoalan,” katanya kepada Harian Metro.

Berita Lan direhatkan timbul apabila gitaris Kristal, Rody atau Muhamad Rodi Baharudin dalam Instagramnya mahu mengadakan uji bakat mencari penyanyi baru.

Kata Rody, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan rakan lain, Kechik atau Mohd Nur Asraf Baharudin dan Acap atau Muhammad Afifi Nor Mohammad.

“Kami bersetuju merehatkan Lan dan mengadakan uji bakat mencari penggantinya. Kalau Lan ingin mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi solo, kami positif dan sentiasa mendoakan kejayaannya,” katanya.

Rody kesal kerana Lan tidak berbincang dengan mereka mengenai penyertaannya di GV4 dan hanya dapat tahu daripada orang lain selepas sidang media mengumumkan peserta program realiti itu.

“Memang terkejut kerana dia sendiri tidak pernah bercerita apa-apa. Lebih membuatkan kami kecil hati apabila ramai bertanya mengapa anggota Kristal tidak ditampilkan dalam Trek Selebriti GV sedangkan kami antara rakan-rakan rapatnya sejak mula menjadi artis,” katanya.

Kata Rody, Lan juga tidak pernah menghubungi mereka dan tidak kisah jika rakannya itu mahu menggunakan nama Kristal.

“Kami tiada masalah jika Lan mahu terus menggunakan nama Kristal. Tapi menjadi tanda tanya kepada kami apabila 20 November lalu, Lan melancarkan video muzik lagu Selagi Ada Rindu di YouTube menggunakan nama Lan & Kristal,” katanya.

Isnin lalu Rody memuat naik gambarnya bersama Kechik dan Achap di Instagram dengan kapsyen

“Di atas nasihat orang-orang lama, kami (Kristal) ingin merehatkan Lan dan akan mengadakan uji bakat mencari penyanyi baru.

“Semoga Lan berjaya dengan hajatnya untuk menjadi penyanyi solo. Takkan nak biarkan Kristal tanpa penyanyi dan nanti kami tiada ‘show’ pula,” katanya.

Gambar itu mendapat lebih 4,000 ‘like’ dan pelbagai reaksi di ruangan komen sehingga memaksa Rody menutup ruangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 3:19 PM