Hubungan Alya dengan Ridhwan sudah berakhir
Hubungan Alya dengan Ridhwan sudah berakhir
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Hubungan cinta pelakon, Alya Iman dengan duda anak dua iaitu Ridhwan Rosli yang terjalin selama dua tahun sudah berakhir.

Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil bagaimanapun berkata, hubungan mereka masih baik sebagai sahabat dan selesa menjalani kehidupan solo ketika ini.

"Ya saya 'single' dan saya tak ada kena mengena dengan Ridhwan lagi. Namun, kami masih kekal berkawan baik.

"Tapi saya 'not available', bukan sebab dah ada pengganti baru tapi saya nak fokus karier seni dan tak ada pun rasa nak ada hubungan cinta. Saya dan Ridhwan berpisah sejak Ramadan lalu. kami kekal bersahabat dan kalau ada jodoh, tak ke mana," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, anak kepada pelakon popular, Allahyarham Azmil Mustapha itu didakwa bertunang dengan seorang ahli perniagaan berstatus suami orang.

Bagaimanapun, Alya memutuskan perhubungan dan ikatan pertunangan itu apabila kehadirannya tidak diketahui dan dipersetujui si isteri.

Selepas terpalit dengan kontroversi itu, Alya kemudian menjalin hubungan cinta dengan Ridhwan sekitar 2020.

Gara-gara terpalit dengan kontroversi hubungan dengan suami orang, Alya menerima kecaman dan netizen menggelarkannya 'gold digger' serta perampas.

Menurut Alya, dia tidak menafikan bermacam-macam gelaran tidak baik diberikan mengenai dirinya, namun dia enggan mengambil pusing terhadap perkara itu.

"Sampai ke hari ini, orang masih cakap buruk mengenai diri saya. Masih ada yang panggil saya dengan macam-macam gelaran dan saya tak ada kuasa untuk menghalang orang cakap apa-apa. Sebagai selebriti saya kena hadap apa saja netizen nak cakap.

"Saya terima dengan hati terbuka. Saya selalu cakap pada diri, benda dah jadi. Setiap apa yang jadi, ada hikmah. Apa saja orang nak cakap pasal saya, Insya-Allah saya terima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:27 PM