ALYA IMAN
ALYA IMAN
Sudirman Mohd Tahir


NAMA pelakon baharu, Alya Iman, 19, terus hangat diperkatakan apabila timbul pula dakwaan mengatakan dirinya mengikis wang sejumlah RM2.3 juta daripada bekas kekasihnya.

Bagaimanapun, Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil menafikan perkara itu selain mendakwa tidak mengenali lelaki terbabit.

"Saya tak pernah menerima wang berjumlah RM2.3 juta seperti didakwa. Saya tak mengenali lelaki yang mendakwa bekas teman lelaki. Saya bimbang dakwaan yang tidak masuk akal ini boleh menjejaskan kehidupan harian," katanya.

Dalam masa sama, menerusi video yang dimuat naik di Instagram Stories yang didakwa kekasih terbaharu Alya, dia menjawab mengenai wang yang dimaksudkan itu.

Kekasih Alya secara berseloroh bertanya di mana wang itu diletakkan dan adakah mereka mahu teruskan mencari.

"Baby mana RM2.3 juta? Kita nak teruskan cari tak RM2.3 juta itu?," kata lelaki itu.

Alya yang juga anak kepada pelakon legenda, Allahyarham Azmil Mustapha secara spontan menjawab kemungkinan wang itu tersalah letak.

"Saya rasakan orang yang bagi tu tersalah letak ka apa. Tak nampak pun di mana. Tolong 'roger' (hubungi) kalau nampak RM2.3 juta," katanya sambil tergelak.

Pada video yang dimuat naik juga, lelaki itu turut menulis keterangan berbunyi; "When u date a 'golddigger' and makan kat foodcourt."

Menerusi laporan Harian Metro semalam, Alya tampil memohon maaf yang menyifatkan dirinya masih muda dan naif.

Lelaki berstatus suami orang yang dikaitkan dengan Alya iaitu Mahathir Mohd, 30, turut merayu warganet untuk berhenti melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap diri dan keluarganya.

Kisah Alya menjadi perhatian warganet apabila isteri lelaki berusia 30 tahun itu yang dikenali sebagai Penny Salman mendedahkan hubungan yang terjalin antara pelakon itu dengan suaminya selepas setahun bercinta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 1:01 PM