Alya Iman
Alya Iman
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon, Alya Iman, 22, menafikan dia ada mengambil apa-apa bahan terlarang yang membuatkan dia sukar untuk bangun tidur.

Anak kepada pelakon popular era 80-an, Allahyarham Azmil Mustapha itu berkata, pelbagai spekulasi timbul apabila dia berkongsi mengenai tabiat buruknya itu dalam satu program bual bicara hiburan, baru-baru ini.

Alya turut mendedahkan sepasukan anggota bomba pernah datang ke rumahnya selepas dia gagal dihubungi pihak produksi akibat lambat bangun dari tidur.

"Saya perasan pelbagai spekulasi yang keluar apabila video perkongsian saya berkenaan anggota bomba pernah datang ke rumah untuk mengejut saya itu keluar. Saya tegaskan saya tidak mengambil dadah atau apa-apa bahan terlarang.

"Saya okay saja bila orang cakap begitu. Kita ini memang suka mengutuk atau buat spekulasi. Saya pun suka buat spekulasi, sama seperti orang lain. Saya juga memahami status saya sebagai artis. Oleh itu, saya kena terima saja apa orang nak cakap," katanya.

Alya mendedahkan dirinya mengalami masalah tidur atau 'sleeping disorder' sejak kecil, namun ia tidak kerap berlaku.

"Saya memang mempunyai masalah 'sleeping disorder', tapi tidaklah berlaku. Jika berlaku, ia bukanlah perkara yang disengajakan. Ada juga yang mengecam saya menyusahkan pihak produksi bila saya bangun lambat pergi ke lokasi penggambaran dan sebagainya. Jujur saya katakan ia tidak sengaja.

"Kalau sengaja tidaklah sampai bomba datang ke rumah. Ia memang 'sleeping disorder'. Saya betul-betul tengah tidur dan bila orang ketuk pintu berulang kali pun tetap tak boleh bangun. Mungkin sebab terlalu penat juga," katanya.

Alya berkata, sesiapa yang mengenalinya secara rapat pasti tahu mengenai masalah yang dialaminya itu.

"Sebelum cerita bomba datang rumah itu pun sebenarnya ada orang pernah datang pecah pintu rumah saya. Masa arwah babah saya masih ada pun perkara ini pernah terjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 5:08 PM