Nikki Palikat mengumumkan perceraiannya dengan suami, Audi Mok ketika sidang media hari ini. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Nikki Palikat mengumumkan perceraiannya dengan suami, Audi Mok ketika sidang media hari ini. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Penyanyi Nikki Palikat, 36, mendedahkan dia memendam perasaan tidak bahagia bergelar isteri Audi Mok selama 10 tahun sebelum mereka memutuskan untuk bercerai secara sah pada Mac, tahun lalu.

Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat ditemui berkata sebab utama perceraian mereka ialah tiada keserasian dalam perhubungan suami isteri melainkan mampu bersahabat baik saja.

"Sebagai pasangan, saya memang tidak bahagia selama menjadi isteri dia (Audi). Tapi, sebagai ahli keluarga dan hubungan persahabatan, kami memang baik dan saling menyokong di antara satu sama lain terutama berkaitan anak.

"Bagaimanapun, Audi adalah bapa yang baik pada anak kami. Mungkin atas sikap baik dan tanggungjawabnya itu menyebabkan ikatan perkahwinan kami mampu bertahan agak lama meskipun bermasalah," katanya pada sidang media diadakan di pejabat Indigital Music.

Ditanya juga apakah sepanjang 10 tahun itu, mereka tidak pernah mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan pakar kaunseling, Nikki berkata mereka banyak kali bertemu kaunselor, namun tiada jalan penyelesaian terbaik ditemui.

"Pihak kaunselor pun tak tahu nak cakap apa sebab hubungan kami sangat baik sebagai ibu bapa dan sahabat. Cuma, masalah utamanya adalah sebagai suami isteri kerana tiada keserasian.

"Apapun, saya lega dengan penjelasan ini kerana tidak perlu lagi menyembunyikan kebenaran. Malah, selepas segala penjelasan ini diharapkan saya tidak akan lagi ditanya mengenainya kerana ia amat (bercerai) menyakitkan," katanya.

Nikki berkata apapun yang pasti, anak lelaki tunggal mereka, Liam, 12, turut menerima dengan baik berita perceraian itu kerana tiada apa pun yang berbeza dalam hubungan kekeluargaan mereka.

Sementara itu, Audi yang hadir sama memaklumkan kesibukan kerja menjadi antara faktor hubungan rumah tangga mereka tidak bahagia seterusnya bermasalah sehingga sukar diselamatkan.

"Barangkali juga, kesibukan kerjaya membuatkan perkahwinan kami menemui kegagalan.

"Ya, tak dinafikan saya memang agak sibuk dengan kerja hingga membuatkan hubungan kami suami isteri mula dingin dan ia berterusan," katanya.

Terdahulu, semalam menerusi temubual yang disiarkan Melodi, TV3, Nikki akhirnya membuat pengakuan mengejut dengan mengakui dia sudah bercerai dengan bekas suaminya, komposer Audi Mok.

Nikki yang pernah menyertai program Malaysian Idol musim pertama pada 2004 dan popular dengan lagu Caramu bertemu jodoh dengan Audi Mok pada 2009. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Liam, 12.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 5:22 PM