Chow Kon Yeow (tengah) berbual bersama adun-adun ketika waktu rehat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown. FOTO MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow (tengah) berbual bersama adun-adun ketika waktu rehat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang mengesyorkan Kerajaan Persekutuan memulangkan 20 peratus daripada hasil cukai yang dibayar negeri bagi membolehkan segala pelaksanaan program dan projek pembangunan khasnya untuk rakyat dapat dilakukan dengan lebih baik.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata beliau dimaklumkan kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sahaja mencecah RM7 hingga RM8 bilion saban tahun dengan lain-lain hasil cukai yang dibayar Pulau Pinang kepada kepada Kerajaan Pusat dijangka melebihi jumlah tersebut.

"Maka sudah sampai waktunya selain daripada insentif yang diumumkan (Kerajaan Persekutuan) bahawa sebenarnya kita perlu mengkaji semula sistem pengagihan (peruntukan) kepada negeri-negeri dalam Persekutuan.

"Kalau kita boleh minta Kerajaan Persekutuan hasil cukai-cukai yang dikutip dari negeri Pulau Pinang sekiranya dapat pulangkan 20 peratus balik kepada Pulau Pinang katakan 20 peratus daripada RM8 bilion yang dikutip oleh LHDN kita akan dapat RM1.6 bilion," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) berhubung apakah langkah-langkah kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan selaras pengumuman Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar semalam.

Kon Yeow yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi menyambut baik pengumuman itu dan menyifatkan pengembangan sektor berkenaan bukan sahaja menjadi tarikan modal insan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi malah merancakkan pembangunan ekonomi Pulau Pinang.

"Dalam hal ini Malaysia ingin menjadi satu jambatan di mana kita dapat membantu syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dan orang tempatan sendiri untuk mengisi jawatan penting dalam kilang MNC (multinsional)," katanya.

Justeru, beliau optimis hasilnya akan memberi pulangan baik kepada industri serta membawa limpahan kepada ekonomi negeri membabitkan sektor-sektor lain terutamanya hartanah, pengangkutan, perkhidmatan, rekreasi dan sebagainya

"Kita percaya satu hala tuju lebih spesifik telah digariskan dan Pulau Pinang sedia memainkan peranan dalam menjayakan pelan strategik tersebut sebab kita memang merupakan negeri yang paling ke hadapan daripada segi semikonduktor dan sektor elektrik dan elektronik (E&E).

"Jadi itulah harapan kita bahawa dengan rancaknya pembangunan semikonduktor ini semestinya akan memberi satu ruang amat besar untuk kita mengendalikan Pulau Pinang dan kita pun dahagakan dana-dana penting daripada pusat dapat dipulangkan kepada negeri supaya kita dapat melaksanakan program dan projek dengan lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:44 PM