NIKKI dan Audi sepakat untuk membesarkan anak walaupun mereka tidak lagi bersama.
NIKKI dan Audi sepakat untuk membesarkan anak walaupun mereka tidak lagi bersama.
Norhayati Nordin


TIADA pasangan yang berkahwin dan memiliki anak inginkan mahligai rumah tangga dibina dengan asas 'cinta' berakhir menerusi perceraian. Begitu juga bagi penyanyi popular, Nikki Palikat, 36.

Apatah lagi, dalam keluarga Nikki sendiri iaitu perkahwinan ibu bapanya masih utuh hingga kini. Bagaimanapun, dia perlu akur jodohnya dengan bekas suami yang juga komposer, Audi Mok tidak sekukuh itu dan harus terlerai.

Mengumumkan lebih lanjut kisah perceraiannya Isnin lalu, Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat berkata, tarikh itu amat istimewa kerana ia adalah tarikh perkahwinannya dengan Audi, kira-kira 13 tahun lalu.

"Saya dan Audi bergelar suami isteri pada 27 Jun 2009. Jadi, kalau nak diikutkan sekarang sudah 13 tahun usia perkahwinan itu. Tapi, saya minta maaf kerana perlu mengumumkan kisah perceraian kami pula.

"Apa pun, tarikh ini (27 Jun) akan terus menjadi istimewa dan 'happy' dalam hidup saya untuk terus melangkah maju ke depan. Saya tidak akan sesekali mengenangnya sebagai tarikh duka walaupun perceraian ini sesuatu yang amat menyakitkan. Kini, saya ingin terus ke depan," katanya.

Nikki dan Audi juga dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 12 tahun.

Nikki dan Audi mencapai kata sepakat untuk bercerai pada Mac tahun lalu, selepas tidak lagi mampu menahan rasa tidak bahagia dalam rumah tangga dibina mereka.

Menurut Nikki, dia memendam perasaan tak bahagia selama 10 tahun dan pernah banyak kali cuba memulihkan perhubungan.

"Saya tidak bahagia selama menjadi isteri dia (Audi). Tapi, sebagai ahli keluarga dan sahabat, kami berdua menjadi sangat baik terutama dalam urusan membabitkan anak. Kami berdua boleh memberi keutamaan itu kepada Liam.

"Dengan penjelasan ini, kami berdua harap semuanya terlerai kerana saya tidak mahu terus berselindung lagi dan tipu siapa-siapa. Saya nak biar semuanya habis di sini kerana bukan senang untuk saya menceritakannya.

NIKKI dedah capai kata sepakat dengan Audi untuk bercerai pada Mac tahun lalu.
NIKKI dedah capai kata sepakat dengan Audi untuk bercerai pada Mac tahun lalu.

"Saya ambil masa untuk berterus terang selama ini apabila sering ditanyakan berkenaan pembabitan suami dalam karier seperti kenapa tak minta dia (suami) buatkan lagu? Jadi, benda itu sebenarnya dah tak ada kaitan," katanya di ibu pejabat Indigital Music di Damansara Perdana.

Hadir sama dalam majlis itu, Audi yang kelihatan cukup sebak dan tidak banyak berbicara.

Katanya, hubungan dia dan bekas isteri dingin mungkin disebabkan sibuk bekerja.

Nikki yang pernah popular dengan lagu Caramu dan Drama juga menafikan pembabitannya dalam pertandingan Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) pada November tahun lalu kerana masalah rumah tangga dihadapinya.

"Pembabitan saya dalam GV8 itu kerana memang pernah dilamar beberapa kali untuk menyertainya. Cuma, saya yang tidak dapat turut serta kerana tiada rezeki ketika itu walaupun sudah bersetuju. Mungkin, mereka (pihak produksi) juga sudah ada barisan peserta dipilih sehinggalah GV8 tahun lalu," katanya yang juga naib juara GV8.

Mengulas punca sebenar perceraiannya, Nikki berkata, dia dan bekas suami tidak ada keserasian.

Katanya, barangkali ia disebabkan dia juga berkahwin pada usia muda dan belum betul-betul mengenal diri sendiri.

"Banyak perselisihan faham dan percanggahan berlaku dalam rumah tangga kami kerana tiada keserasian sebenarnya. Tapi, saya pendam benda ini agak lama kerana kami juga cuba untuk memulihkan keadaan. Kami betul-betul mencuba dan banyak kali juga mendapatkan khidmat bimbingan dan kaunseling.

"Tapi, kalau dah tak ada jodoh dan tak ada keserasian, nak cuba macam mana pun ia tak akan berhasil. Hubungan kami sebagai keluarga iaitu ibu bapa kepada anak sangat bagus, namun untuk hubungan suami isteri itu tidak ada. Saya tak boleh tipu diri sendiri, begitu juga dengan dia (Audi)," katanya.

Berbicara juga mengenai hak penjagaan anak, Nikki berkata, mereka sepakat untuk membesarkan Liam bersama-sama.

Katanya, walaupun mereka sudah tidak lagi berstatus suami isteri, namun kegembiraan dan kebahagiaan anak adalah paling utama dan akan sentiasa didahulukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 6:44 AM