FAZURA bersama Tengku Permaisuri Selangor. FOTO IG Fazura
FAZURA bersama Tengku Permaisuri Selangor. FOTO IG Fazura

Kuala Lumpur: "Masya-Allah, cantiknya kakak (Fazura)." Itu kebanyakan komen yang ditulis peminat dan warganet di Instagram pelakon Fazura selepas dia memuatnaik beberapa hantaran gambar yang mengenakan persalinan sari ketika menghadiri majlis sambutan peribadi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Fazura, 39, atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin berkata, kehadirannya bersama suami juga pelakon Fattah Amin ke majlis bertemakan Bollywood itu adalah antara hadiah kejutan kepada Tengku Permaisuri pada majlis itu.

"Saya dan Fattah berpeluang menghadiri majlis sambutan peribadi untuk DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Tema majlis adalah Bollywood, tema yang sangat meriah.

"Saya dan Fattah adalah antara hadiah kejutan kepada Tengku Permaisuri pada majlis itu. Misi kami membawa kek untuk memberikan kejutan manis kepada Tuanku Permaisuri. Itulah cadangannya, namun ketika membawa kek menuju ke hadapan baginda sambil diiringi nyanyian 'Happy Birthday', dapat dirasakan yang sedang mengalami kejutan ialah kami berdua. Sungguh, dapat kami lihat Tuanku Permaisuri sangat berkenan dan sukacita dengan kehadiran kami. Tuanku Sultan kurniakan senyuman. Sungguh besar jiwa baginda Tuanku berdua," katanya.

Menerusi hantaran sama, Fazura juga pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia menyifatkan kesempatan itu adalah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

"Kami pulang dari majlis membawa pelbagai kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Apa yang paling tersemat di hati kami ialah baginda Tuanku berdua 'is such a lovely and loving couple', 'warm and humble'. Kami sangat kagum, sebagai contoh kepada kami.

"Sekali lagi, ucapan selamat hari lahir kami ucapkan kepada Tengku Permaisuri, semoga Allah SWT merahmati Tengku Permaisuri sentiasa dengan kebahagiaan dan semoga sentiasa mendapat rahmat di sisi-Nya. Semoga Allah SWT lanjutkan usia Tuanku Sultan dan Tengku Permaisuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 2:41 PM