SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kiri) dan Allahyarham Tun Ahmad Sarji melihat kandungan buku pada Majlis Pelancaran Buku Sagiyah Salikin: Tahu Menjaga Tuah di Hotel Istana pada 9 Januari 2017. FOTO Arkib NSTP
SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kiri) dan Allahyarham Tun Ahmad Sarji melihat kandungan buku pada Majlis Pelancaran Buku Sagiyah Salikin: Tahu Menjaga Tuah di Hotel Istana pada 9 Januari 2017. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih di atas berita pemergian Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, semalam.

Menurut Selangor Royal Office, baginda berdua berkenan mengutus salam takziah kepada keluarga Allahyarham khususnya balu, Toh Puan Sagiyah Salikin.

"Baginda mengenali rapat Tun Ahmad Sarji khususnya ketika Allahyarham bertugas sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan menganggap Allahyarham sebagai seorang yang komited dan banyak menyumbang kepada pembaharuan sektor perkhidmatan awam.

"Atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengurniakan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 1992.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," menurut kenyataan itu semalam.

Ahmad Sarji, 82 tahun meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, 1.40 pagi semalam.

Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz akibat komplikasi Covid-19 pada 31 Julai lalu.

Ahmad Sarji adalah Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 9:42 AM